
MELAKA BUKAN ‘STRESS STATE’, TETAPI ‘PERFORMANCE STATE’ – AB RAUF
AYER KEROH 20 Oktober – Melaka bukan sebuah negeri yang dibelenggu kemurungan atau tekanan, sebaliknya sebuah negeri berprestasi yang terus bergerak ke arah kecemerlangan menerusi pencapaian dan keberkesanan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian yang direkodkan sepanjang lima tahun pentadbiran BN perlu dijadikan kayu pengukur kepada rakyat untuk menilai keupayaan kerajaan dalam membawa pembangunan dan kemajuan kepada negeri ini.
Beliau berkata, dengan jumlah penduduk kira-kira satu juta orang, termasuk 350,000 tenaga kerja, Melaka mempunyai potensi besar untuk terus berkembang dan meningkatkan prestasinya dalam pelbagai sektor.
“Melaka this is not a stress state. This is performance state. Kita bukan negeri kemurungan, kita negeri yang bergerak ke arah kecemerlangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya Sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di Dewan World Youth Foundation (WYF), di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN Melaka Datuk Rais Yasin; Pengerusi BN Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Pengerusi MCA Negeri Melaka Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah Datuk Fairul Nizam Roslan; Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka Datuk Kalsom Noordin serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, keyakinan terhadap keupayaan BN mentadbir negeri turut didorong pelbagai pencapaian yang direkodkan menerusi pelaksanaan program dan inisiatif di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat.
Menurutnya, lebih 200 pencapaian telah dicapai menerusi pelbagai usaha Kerajaan Negeri yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“Jadikan pencapaian ini sebagai ukuran untuk rakyat Melaka menilai kemampuan kita membawa negeri ini ke arah kecemerlangan,” katanya.
Beliau berkata, rekod pencapaian berkenaan perlu menjadi asas kepada rakyat untuk menilai prestasi pentadbiran dan menentukan hala tuju Melaka untuk tempoh lima tahun akan datang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


