
LIMA TAHUN BN MENTADBIR MELAKA, KITA TIDAK CAKAP KOSONG, TIDAK TEMBERANG – AB RAUF
AYER KEROH 20 Oktober – Rekod pencapaian sepanjang lima tahun pentadbiran Barisan Nasional (BN) perlu menjadi kayu pengukur kepada rakyat dalam menilai keupayaan parti itu meneruskan pembangunan dan kemajuan di Melaka.
Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, BN tidak sekadar menawarkan janji politik, sebaliknya perlu membuktikan keupayaan menerusi pencapaian dan hasil pelaksanaan program yang memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan rakyat mendapat manfaat dalam setiap program dan inisiatif yang dirangka.
“Kita tidak cakap kosong, kita tidak temberang. Kita tidak menjalankan politik hasutan, politik kebencian dan politik fitnah supaya kita dilihat jauh lebih baik daripada orang lain.
“Tetapi kita membuktikan dengan bekerja dan berkhidmat untuk rakyat Melaka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya Sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di Dewan World Youth Foundation (WYF), di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN Melaka Datuk Rais Yasin; Pengerusi BN Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Pengerusi MCA Negeri Melaka Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah Datuk Fairul Nizam Roslan; Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka Datuk Kalsom Noordin serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, semua jentera parti perlu mempersiapkan diri dengan naratif perjuangan yang jelas dan meyakinkan bagi menghadapi PRN Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 14 November ini.
Menurutnya, kekuatan dan sorakan penyokong semata-mata tidak menjamin kemenangan, sebaliknya setiap jentera perlu istiqamah dalam perjuangan serta mampu menyampaikan mesej yang berkesan kepada pengundi.
“Kita belum tentu menang dengan sorakan dan teriakan ini. Saya selalu mengingatkan semua jentera pimpinan bahawa kita mesti mempunyai satu naratif yang baik untuk menang pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata, menerusi gagasan Melaka Sayang Rakyat, pentadbiran Kerajaan Negeri telah merekodkan lebih 200 pencapaian untuk rakyat dalam tempoh dua tahun 10 bulan, sekali gus menjadi antara asas untuk memperkukuh keyakinan pengundi terhadap keupayaan BN mentadbir negeri.
Katanya, pencapaian berkenaan perlu dimanfaatkan sebagai bukti kesungguhan kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab, selain menjadi asas kepada jentera parti untuk menjelaskan hala tuju pembangunan negeri kepada rakyat.
“Justeru, saya mahu seluruh jentera BN untuk terus bekerja secara tersusun dan konsisten bagi memastikan mesej perjuangan parti dapat disampaikan dengan berkesan menjelang hari pengundian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


