
BN TERUS TAMBAT HATI RAKYAT MELAKA, TEKAD KEKAL TADBIR SERI NEGERI
AYER KEROH 20 Oktober – Barisan Nasional (BN) Melaka perlu terus menambat hati rakyat menerusi rekod pencapaian dan keberkesanan menyelesaikan masalah masyarakat bagi memastikan mandat mentadbir negeri itu dapat dikekalkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kepercayaan rakyat tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang pasti, sebaliknya perlu diraih menerusi usaha berterusan serta bukti pencapaian sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Negeri.
Beliau berkata, program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang dilaksanakan di 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi antara pendekatan penting BN dalam mendekati rakyat dan memahami permasalahan mereka.
“Program WRUR yang dicetuskan ideanya telah memberikan satu kesan yang cukup hebat kepada rakyat dalam Negeri Melaka.
“Selepas menjelajah ke 28 DUN, sebanyak 4,800 aduan diterima dan 75 peratus daripadanya telah diselesaikan dengan jayanya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya Sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di Dewan World Youth Foundation (WYF), di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN Melaka Datuk Rais Yasin; Pengerusi BN Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Pengerusi MCA Negeri Melaka Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah Datuk Fairul Nizam Roslan; Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka Datuk Kalsom Noordin serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, jentera BN perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan kepercayaan pengundi, mengambil kira kepelbagaian sokongan politik dalam kalangan penduduk Melaka.
Menurutnya, BN tidak boleh hanya bergantung kepada sokongan ahli parti, sebaliknya perlu mendekati seluruh lapisan masyarakat dengan mengetengahkan pencapaian dan manfaat yang telah dinikmati rakyat.
“Kalau diikutkan, kita mempunyai hampir 700,000 pengundi. Maknanya, kalau berjalan di bandar Melaka atau di kampung-kampung, daripada setiap 10 orang, tujuh orang daripadanya ialah pengundi.
“Jadi, adakah dalam tujuh orang itu, enam orang ahli UMNO? Belum tentu kerana kita mempunyai kepelbagaian parti yang memusuhi kita.
“Jadi, apa yang boleh kita buat? Kita mesti menambat hati mereka supaya terus memberikan kepercayaan kepada kita untuk meneruskan pentadbiran di Seri Negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


