PRN MELAKA: BN YAKIN RAMPAS SEMULA DUN AYER KEROH DAN BUKIT KATIL

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 20 Oktober – Barisan Nasional (BN) Melaka yakin mampu merampas semula dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Hang Tuah Jaya iaitu DUN Ayer Keroh dan DUN Bukit Katil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, keyakinan itu berdasarkan penilaiannya terhadap dinamik politik semasa dan kepimpinan negeri.

Ab Rauf yakin kedua-dua kerusi tersebut berpotensi kembali menjadi milik UMNO dan BN.

“Semua ini berdasarkan suasana politik begitu dinamik sekarang.  Rakyat Melaka telah melihat bahawa ukuran kejayaan sebuah negeri ini berdasarkan kepada kepimpinannya yang begitu proaktif.

“Kalau tanya saya, kita mempunyai keyakinan bahawa lagi dua daripada empat DUN dalam Parlimen Hang Tuah Jaya ini akan kembali semula kepada UMNO dan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya Sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di Dewan World Youth Foundation (WYF), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN Melaka Datuk Rais Yasin; Pengerusi BN Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Pengerusi MCA Negeri Melaka Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah Datuk Fairul Nizam Roslan; Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka Datuk Kalsom Noordin serta lain-lain kenamaan.

Mengulas keyakinan BN menghadapi persaingan politik di Parlimen Hang Tuah Jaya, Ab Rauf berkata, DUN Ayer Keroh dan DUN Bukit Katil antara kerusi yang menjadi perhatian susulan kenyataan beliau mengenai hasrat BN mendapatkan semula kedua-dua kawasan berkenaan.

Jelasnya, kedudukan empat kerusi DUN Parlimen Hang Tuah Jaya bagi menghadapi PRN akan dimuktamadkan selepas persetujuan mengenai kerjasama politik dicapai bersama rakan strategik UMNO.

“Mengenai keseluruhan empat kerusi ini, kita akan umumkan nanti setelah kita mencapai persetujuan yang muktamad tentang rakan strategik untuk menjadi rakan strategik UMNO dalam pilihan raya umum yang akan datang ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

190
Kongsi :
Previous post BN TERUS TAMBAT HATI RAKYAT MELAKA, TEKAD KEKAL TADBIR SERI NEGERI
Next post MELAKA DIIKTIRAF TERBAIK DALAM MALAYSIA URUS ADUAN RAKYAT