
MENARA TAMING SARI LEBIH MERIAH BILA ADA ZON BEBAS KENDERAAN
KOTA LAKSAMANA 21 Oktober – Pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir berjaya meningkatkan jumlah pengunjung ke Menara Taming Sari saban tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB), Nur Azan Hassan berkata, inisiatif Kerajaan Negeri itu memberi peluang kepada pelancong menerusi kemudahan akses pejalan kaki yang membolehkan pelancong meneroka lebih banyak tarikan termasuk Menara Taming Sari.
Menurutnya, inisiatif itu menjadi nilai tambah kepada produk pelancongan sedia ada, sekali gus membuka peluang kepada menara berkenaan untuk menarik lebih ramai pengunjung.
“Apabila pelancong boleh berjalan kaki di kawasan Bangunan Merah, tentu sahaja mereka akan melalui kawasan itu sebelum sampai ke Menara Taming Sari.
“Ini merupakan satu faktor tambahan yang boleh meningkatkan bilangan pengunjung ke Menara Taming Sari,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Makan Malam Penghargaan Warga MTSB 2026 yang disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah MTSB Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Nasrul Ahmad serta lain-lain kenamaan.
Sementara itu, Nur Azan berkata, majlis tersebut diadakan bagi menghargai warga kerja menara ikonik tersebut yang menjadi salah satu mercu pelancongan terkemuka di Melaka.
Pada masa sama, beliau memaklumkan, majlis itu turut meraikan warga kerja yang telah berkhidmat lebih 10 tahun dalam membantu Menara Taming Sari terus destinasi pilihan pelancong.
“Ini bukan sekadar sebuah majlis untuk meraikan kejayaan, sebaliknya menjadi tanda penghargaan pihak pengurusan terhadap komitmen, kesungguhan dan pengorbanan seluruh warga kerja Menara Taming Sari.
“Saya amat menghargai setiap usaha yang diberikan semua kakitangan, sama ada di bahagian operasi, pentadbiran, teknikal, promosi mahupun bahagian-bahagian lain yang menjadi tulang belakang syarikat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

