BN MAHU ‘BIRUKAN’ EMPAT DUN DALAM PARLIMEN HANG TUAH JAYA – RIDHWAN

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 21 Oktober – Barisan Nasional (BN) menyasarkan kemenangan di kesemua empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Hang Tuah Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 dalam usaha memperkukuh mandat parti itu untuk terus mentadbir negeri.

Pengerusi BN Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, seluruh jentera parti perlu menggembleng tenaga dan memastikan gerak kerja yang tersusun bagi merealisasikan sasaran ‘membirukan’ keseluruhan Parlimen berkenaan.

Menurutnya, persiapan dan penyusunan organisasi telah dilaksanakan, namun jentera tidak boleh berasa selesa, sebaliknya perlu terus bekerja keras untuk mendapatkan kepercayaan pengundi.

“Insya-Allah, Hang Tuah Jaya bersedia untuk membirukan seluruh Parlimen Hang Tuah Jaya. Semangat kita ialah satu Parlimen, empat DUN dan kemenangan yang lebih besar untuk Barisan Nasional di negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya Sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 yang disempurnakan Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dewan World Youth Foundation (WYF), di sini, semalam.

Ridhwan berkata, kekuatan jentera pilihan raya bukan sekadar diukur berdasarkan kehadiran ramai penyokong dalam sesuatu program, sebaliknya bergantung kepada kesungguhan mereka melaksanakan tugas dan mendekati pengundi.

“Jentera yang kuat bukan yang hebat berhimpun, tetapi jentera yang kuat ialah mereka yang hebat bekerja,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh jentera BN memberikan kerjasama penuh kepada Pengerusi BN yang disifatkan sebagai jentera perang dalam menghadapi cabaran PRN Melaka dengan mengutamakan disiplin, kesungguhan, semangat dan kerjasama berpasukan.

“Orang-orang tua kata kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Tiada hasil tanpa usaha, tiada kejayaan tanpa pengorbanan. Sebab itu, kita perlu terus bekerja dan tidak boleh berasa selesa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

150
Kongsi :
Previous post SORAKAN TAK RUNTUHKAN BUKIT, JENTERA BN JANGAN LEKA