MPAG AGENSI PERTAMA MELAKA TERIMA SIJIL PEMATUHAN SAGA

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

ALOR GAJAH 22 Oktober – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) melakar pencapaian membanggakan apabila menjadi agensi pertama di Melaka menerima Sijil Pematuhan Sistem Perakaunan Standard bagi Agensi Kerajaan (SAGA) daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

MPAG dalam satu kenyataan memaklumkan, pengiktirafan itu diterima menerusi Majlis Anugerah Pematuhan SAGA 2026 (MASS) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, pada Isnin.

Menurut kenyataan itu, pencapaian berkenaan membuktikan komitmen berterusan MPAG dalam memperkukuh tadbir urus kewangan, meningkatkan ketelusan serta memastikan pengurusan perakaunan dilaksanakan secara sistematik dan berintegriti.

“Pengiktirafan ini mencerminkan usaha berterusan MPAG dalam memastikan pengurusan kewangan yang cekap, telus dan mematuhi standard ditetapkan, sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap tadbir urus organisasi,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, pengiktirafan tersebut telah diterima Setiausaha MPAG Radzyma Mahat yang disampaikan oleh Akauntan Negara Nasran Omar.

Turut bersama Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Md Azhan Samat.

SAGA merupakan sistem perakaunan standard yang menjadi antara mekanisme penting dalam memastikan pengurusan kewangan agensi kerajaan dilaksanakan secara teratur, selain menyokong amalan tadbir urus yang baik.

Pencapaian itu turut menjadi pemangkin kepada MPAG untuk terus meningkatkan kualiti pengurusan dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat, selaras dengan aspirasi menjadikan Alor Gajah sebuah bandar lestari dan berdaya huni menjelang 2035.

MPAG turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerjanya atas komitmen dan usaha bersama yang menyumbang kepada pencapaian berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

320
Kongsi :
Previous post LEBIH 2,000 UMAT ISLAM IMARAHKAN MELAKA BERMUNAJAT