
LEBIH 2,000 UMAT ISLAM IMARAHKAN MELAKA BERMUNAJAT
LENDU 22 Oktober – Seramai 2,200 umat Islam mengimarahkan majlis ilmu Melaka Bermunajat: Majlis Ratib Al-Attas & Asmaulhusna di Masjid Salmah Khamis, Masjid Tanah, di sini, malam tadi.
Selain menghimpunkan umat Islam majlis ilmu itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama isteri Datin Seri Utama Hamidah Khamis.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama isteri Datin Sri Utama Datuk Wira Zuriyah Abd Aziz, barisan Exco, Timbalan Exco dan kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka.
Majlis ilmu itu dimulakan dengan umat Islam menunaikan solat Maghrib berjemaah sebelum diikuti Ratib Al-Attas.
Bacaan zikir itu dibimbing Habib Hadi Mohsien Al-Habsyi, Habib Hafiz Mohsien Al-Habsyi dan Ustaz Abdul Syahid Mustafa.
Mudir Rubat Ad Dhia Ul Lami’ Tambak Bugis, Ustaz Muhammad Hatta Syamsul Arifin Abdul Rahim kemudian meneruskan majlis dengan kata-kata nasihat dan peringata lembut yang menyentuh hati serta menyelami perasaan jemaah menerusi sesi al-Maw’izah al-Hasanah.
Kemuncak majlis adalah zikir Asmaulhusna yang mengagungkan kebesaran nama-nama Allah SWT dan disudahi dengan solat Isyak berjemaah.
Masjid Tanah dan Masjid Salmah Khamis khususnya amat dekat dengan Timbalan Perdana Menteri kerana namanya adalah bersempena nama ibunda serta ayahanda isteri beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

