ZOO MELAKA MENUJU HAB KONSERVASI, PENYELIDIKAN HAIWAN BERTARAF DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 22 Oktober – Zoo Melaka menyasarkan transformasi sebagai hab konservasi, penyelidikan dan pendidikan haiwan bertaraf dunia menerusi perancangan pembangunan semula secara menyeluruh yang bakal dilaksanakan secara berperingkat.

Pengarah Zoo Melaka Dr. Zahidah Izzati Zeid berkata, usaha itu akan dimulakan dengan penyediaan pelan induk bagi menetapkan hala tuju pembangunan serta mengenal pasti keperluan penambahbaikan zoo berkenaan yang sudah lama beroperasi.

Menurutnya, proses awal kini memberi tumpuan kepada pelantikan pihak berkaitan, termasuk arkitek, bagi menyediakan reka bentuk dan pelan induk sebelum projek pembangunan dilaksanakan mengikut fasa.

“Rombakan yang dirancang agak besar, tetapi kita akan mulakan dengan penyediaan reka bentuk dan pelan induk terlebih dahulu sebelum merancang pelaksanaan projek.

“Berdasarkan pelan itu, kita berharap dapat mengenal pasti dua atau tiga bahagian untuk ditambah baik pada tahun depan, bergantung kepada kos dan kemampuan mendapatkan peruntukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas Program Zoo Clean and Green Day yang disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman di Zoo Melaka, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat; Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Khairul Azeem Mamat dan Pengurus Besar Ketua Menteri Melaka (Pemerbadanan) Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh.

Dr. Zahidah berkata, kejayaan merealisasikan perancangan pembangunan itu turut memerlukan sokongan syarikat korporat, agensi kerajaan dan pelbagai pihak bagi membantu menyediakan sumber kewangan serta kepakaran yang diperlukan.

Katanya, pelaksanaan projek berskala besar itu bergantung kepada ketersediaan peruntukan dan peluang mendapatkan geran bagi memastikan setiap fasa pembangunan dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

“Kita berharap sekurang-kurangnya satu projek utama dapat direalisasikan dalam fasa awal pelaksanaan, sekali gus menjadi langkah ke arah menjadikan Zoo Melaka lebih baik untuk pengunjung dan memenuhi keperluan konservasi, penyelidikan serta pendidikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

363
Kongsi :
Previous post MPAG AGENSI PERTAMA MELAKA TERIMA SIJIL PEMATUHAN SAGA