
DBP PERLUAS KEMPEN BAHASA KEBANGSAAN KE LEBUH RAYA, STESEN KERETA API
AYER KEROH 22 Oktober – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memperluas usaha memartabatkan bahasa kebangsaan ke ruang awam termasuk lebuh raya, stesen kereta api dan pusat beli-belah bagi menyemai kecintaan terhadap bahasa Melayu dalam kehidupan seharian masyarakat.
Ketua Pengarah DBP Datuk Dr. Hazami Jahari berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sektor swasta bagi memastikan bahasa kebangsaan terus digunakan serta dihargai dalam pelbagai urusan.
Menurut Dr. Hazami, kerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), misalnya, membolehkan mesej berkaitan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan, termasuk pantun dan peribahasa, dipaparkan di sepanjang lebuh raya.
“Kita bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya. Di sepanjang lebuh raya itu, kita akan cuba memaparkan mesej kecintaan kepada bahasa kebangsaan, termasuk pantun dan peribahasa.
“Kita juga bekerjasama dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi memastikan pengguna perkhidmatan kereta api turut diberi kesedaran tentang tanggungjawab menggunakan bahasa kebangsaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70 Peringkat Zon Selatan serta Penutupan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan 2026 yang disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Melaka Datuk Maslina Baki selaku wakil rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh di Panggung Seri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, DBP juga memberi perhatian kepada penggunaan bahasa kebangsaan pada papan tanda dan iklan di tempat awam, dengan sokongan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pihak swasta.
Dalam usaha memupuk budaya membaca, Hazami berkata, DBP turut bekerjasama dengan pasar raya dan pengurusan stesen kereta api untuk menyediakan sudut bacaan di lokasi terpilih bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bahan bacaan.
“Ini kita lakukan untuk memastikan budaya membaca terus segar dan bahasa kebangsaan terus dikuasai serta digunakan sepenuhnya dalam semua ranah kehidupan, termasuk pentadbiran, ekonomi dan bidang keilmuan,” katanya.
Selain kempen di ruang awam, beliau memaklumkan DBP turut melaksanakan pelbagai program sepanjang tahun bagi memperkukuh penguasaan bahasa Melayu, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Katanya, program berkenaan merangkumi pertandingan peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT), termasuk pertandingan lagu, deklamasi sajak, pantun dan debat, selain pementasan teater serta bengkel penulisan.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif itu mencerminkan usaha berterusan DBP untuk memastikan bahasa Melayu bukan sahaja dipelihara sebagai bahasa kebangsaan, malah terus berfungsi sebagai bahasa ilmu, pentadbiran dan komunikasi dalam kehidupan masyarakat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

