TASIK AYER KEROH JADI DESTINASI REKREASI KAKI PANCING

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 22 Oktober – Seramai 350 kaki pancing dari pelbagai negeri berhimpun di Tasik Ayer Keroh sempena penganjuran Gegar Joran Melaka 2026 pada 18 Oktober lalu, sekali gus mengangkat potensi lokasi itu sebagai destinasi rekreasi memancing di Melaka.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron berkata, penyertaan menggalakkan itu bukan sahaja memeriahkan aktiviti rekreasi di tasik berkenaan, malah membantu memperkenalkan lokasinya kepada pengunjung dari dalam dan luar negeri.

Menurutnya, sambutan yang diterima membuka ruang kepada MPHTJ untuk mempertimbangkan penganjuran berskala lebih besar pada masa hadapan, termasuk menambah jumlah penyertaan serta mempelbagaikan aktiviti rekreasi dan kekeluargaan.

“Usaha promosi turut diperkukuh melalui liputan media sebelum dan selepas pertandingan, dengan nilai publisiti keseluruhan melebihi RM50,000,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, usaha memelihara ekosistem turut diberi perhatian apabila sebanyak 10,000 benih ikan lampam sungai, terbul dan sebarau dilepaskan di Tasik Ayer Keroh hasil sumbangan Jabatan Perikanan Negeri Melaka.

Menurut Sapiah, pelepasan benih ikan tempatan itu merupakan antara usaha memperkaya sumber perikanan dan menyokong kepelbagaian hidupan akuatik di tasik berkenaan.

Pada pertandingan itu, peserta berusia 14 tahun, Aqif Haziq Junaidi dari Bukit Rambai muncul juara selepas menaikkan ikan tilapia seberat 0.810 kilogram, sekali gus membawa pulang wang tunai RM4,000.

Lebih istimewa, rezeki turut mengiringi bapanya, Junaidi Hassan, 47, apabila meraih tempat kedua pada pertandingan itu, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Tempat ketiga pula menjadi milik Muhamad Syuib Md Amin, 30, dari Tanjong Kling menerusi tangkapan ikan toman seberat 0.765 kilogram.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

175
Kongsi :
Previous post DBP PERLUAS KEMPEN BAHASA KEBANGSAAN KE LEBUH RAYA, STESEN KERETA API