TOK RAUF SELESA DUDUK SEMEJA, DENGAR SUARA HATI RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

MASJID TANAH 22 Oktober – Peluang menjamah sarapan pagi semeja dengan rakyat tanpa dibatasi protokol amat dinanti-nantikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf, mengakui beliau lebih selesa mengikut cara itu kerana dapat menyantuni, bermesra dan bersembang dengan rakyat mengikut cara orang kampung dalam suasana santai.

“Sambil saya menikmati sarapan, ramai yang datang mereka ini bukan sahaja mahu dekat dengan pemimpin tetapi ada juga menggunakan kesempatan itu untuk menyuarakan pandangan dan tidak kurang mengadu masalah dihadapi.

“Bagi saya semua perkara ini diambil kira, ia adalah satu panduan untuk menambah baik pentadbiran sebagai wakil rakyat kawasan dan membantu merangka dasar bagi Kerajaan Negeri supaya dapat kita ringankan beban rakyat daripada suara-suara hati ini,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian selepas bersarapan bersama rakyat di Kedai Nasi Gunting, Pekan Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Selain pelanggan kedai makan berkenaan, kehadiran Ab Rauf dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali turut menarik perhatian peniaga masyarakat Cina berhampiran yang bersama-sama duduk semeja bersembang dengan Ketua Menteri.

Katanya, konsep itu juga adalah selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang menjadi jambatan mengeratkan lagi hubungan antara kepimpinan negeri dan semua orang Melaka.

Bagi memastikan sistem penyampaian dan perkhidmatan memberikan impak kepada orang Melaka Ab Rauf melaksanakan inisiatif Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang terbukti berjaya memecahkan kebuntuan dalam mencari penyelesaian permasalahan rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

193
Kongsi :
Previous post TASIK AYER KEROH JADI DESTINASI REKREASI KAKI PANCING