
1,500 PEGAWAI, ANGGOTA TAMBAHAN BANTU POLIS MELAKA SEPANJANG PRN
AYER KEROH 23 Oktober – Seramai 1,500 pegawai dan anggota polis dari luar kontinjen Melaka akan ditugaskan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 nanti.
Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Dzulkhairi Mukhtar berkata, bantuan pegawai dan anggota itu akan diselaraskan oleh Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.
“Bantuan ini juga akan melibatkan pegawai dan anggota dari Bukit Aman serta kontinjen negeri lain, kita serah kepada Bukit Aman untuk selaraskan penugasan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Taklimat Sempena PRN Melaka di Auditorium, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, hari ini.
Dzulkhairi berkata penugasan polis bagi menghadapi PRN Melaka melibatkan seramai 3,400 petugas yang merangkumi tugas am dan tugas khas.
Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan persiapan polis terhadap PRN Melaka sudah dilakukan sejak empat bulan lalu termasuk melakukan simulasi amal.
Menurut beliau, setakat ini cuti pegawai dan anggota polis masih berjalan seperti biasa tanpa sebarang sekatan, namun pihaknya akan menilai semula keperluan itu selepas hari penamaan calon dan sepanjang tempoh berkempen.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


