
MAIM PERMUDAH URUSAN WAKAF, PELIHARA AMANAH
PENGKALAN BATU 22 Oktober – Mewakafkan sebahagian harta bukan sekadar amalan kebajikan, sebaliknya satu legasi yang mampu memberikan manfaat berpanjangan kepada umat Islam menerusi penyediaan prasarana ibadah, pendidikan agama dan kemudahan masyarakat.
Menyedari kepentingan itu, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) terus memperkukuh usaha menyantuni pewakaf serta memastikan setiap urusan wakaf dilaksanakan mengikut proses dan tatacara yang betul bagi memelihara kepentingan harta berkenaan untuk manfaat umat Islam.
Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Wakaf dan Mal MAIM, Mohd Rizalman Syed berkata, sesi penyempurnaan lafaz wakaf bukan sahaja menjadi tanda penerimaan rasmi hasrat pewakaf, malah menjadi tanda penghargaan terhadap keikhlasan mereka menginfakkan harta ke jalan Allah SWT.
Menurutnya, MAIM amat menghargai kepercayaan masyarakat yang memilih institusi itu untuk menguruskan harta wakaf, sekali gus memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh umat Islam di negeri ini.
“Kami di MAIM amat berbesar hati menerima niat dan hasrat umat Islam untuk berwakaf demi kepentingan masyarakat, khususnya umat Islam.
“Saya menyeru orang ramai yang berhasrat mewakafkan tanah atau harta supaya berhubung dengan Bahagian Wakaf dan Mal MAIM agar urusan dapat dilaksanakan mengikut proses serta tatacara yang betul, sekali gus mengelakkan sebarang isu berbangkit pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, amalan wakaf yang dilaksanakan dengan niat ikhlas bukan sahaja membantu memenuhi keperluan masyarakat ketika ini, malah berpotensi menjadi sumber manfaat berterusan kepada generasi akan datang.
Dalam sesi penyempurnaan lafaz wakaf yang diadakan, beberapa pewakaf menyerahkan tanah dan hartanah bagi pelbagai tujuan, termasuk pembinaan masjid, penyediaan tapak perkuburan Islam, pembangunan sekolah agama serta manfaat institusi keagamaan.
Antara pewakaf terbabit ialah Jaafar Mohd Noor yang mewakafkan tanah di Lot 833, GMM 644 dan Lot 834, GMM 596, Mukim Padang Temu bagi tujuan tapak masjid baharu Kariah Padang Temu.
Jamaliah Normal pula mewakafkan sebuah rumah teres di Taman Saujana Indah, Bukit Katil, manakala Ibrahim Ahmad bersama Raemah Sulaiman mewakafkan sebuah rumah teres di Taman Merdeka.
Siti Aisah Skh Abd Rahim turut mewakafkan tanah di Lot 220, GMM 186, Mukim Balai Panjang bagi tujuan tapak perkuburan Islam Kariah Kampung Padang.
Sementara itu, Ahmad Ab Rahim dan Hasan Ab Rahim mewakafkan tanah di Lot 931, Mukim Bukit Rambai bagi tujuan wakaf am untuk manfaat Masjid Kariah Pokok Asam.
Hasan turut mewakafkan tanah di Lot 1209, Mukim Bukit Rambai bagi manfaat Madrasah Ar Rahim, Kampung Pinang A, Batang Tiga.
Ramlah Md Yunus pula mewakafkan tanah di Lot 1103, Mukim Pegoh bagi tujuan pembinaan Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (SRA JAIM) baharu di Melekek Luar, Alor Gajah, manakala Shaari Mohamad mewakafkan tanah di Lot 826, Mukim Sungai Baru Tengah bagi tujuan wakaf am.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

