MOTAC TINJAU NAIK TARAF INFRASTRUKTUR ZOO MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 22 Oktober – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) meninjau pelaksanaan projek naik taraf infrastruktur di Zoo Melaka bagi memastikan kemudahan pelancongan di destinasi itu terus dipertingkat demi keselesaan pengunjung.

Lawatan tapak itu diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Datuk Surrendren Sathasivam, bersama Pengarah MOTAC Negeri Melaka, Bukhari Che Man.

Ketibaan delegasi kementerian itu disambut Pengurus Besar Ketua Menteri Melaka (Pemerbadanan) (CMI), Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh dan Pengurus Zoo Melaka, Dr. Zahidah Izzati Zeid.

Tinjauan berkenaan memberi tumpuan kepada kemajuan dua projek prasarana di bawah peruntukan MOTAC, membabitkan kerja membaik pulih jambatan serta menaik taraf gazebo sebagai ruang rehat pengunjung di dalam kawasan zoo.

Pelaksanaan projek itu dijangka membantu meningkatkan aspek keselamatan, keselesaan dan kualiti kemudahan sokongan untuk pengunjung, sekali gus memperkukuh daya tarikan Zoo Melaka sebagai destinasi pelancongan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, usaha memperindah dan memelihara persekitaran zoo turut diperkukuh menerusi penganjuran Program Zoo Clean and Green Day anjuran CMI yang menghimpunkan 729 peserta daripada 30 agensi kerajaan dan 15 syarikat swasta.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu menyaksikan kerjasama pelbagai pihak dalam menceriakan kawasan zoo menerusi aktiviti gotong-royong, termasuk mengecat, menanam pokok dan membersihkan persekitaran.

Gabungan usaha menaik taraf kemudahan fizikal dan penjagaan persekitaran itu mencerminkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta sektor swasta dalam memperkukuh kualiti produk pelancongan di Melaka.

Langkah berkenaan diharap dapat mewujudkan persekitaran yang lebih selesa dan menarik, selain menyokong usaha berterusan menjadikan Zoo Melaka sebagai destinasi rekreasi, pendidikan dan pemuliharaan hidupan liar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

165
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: 2,764 PENGUNDI POLIS TERLIBAT UNDI AWAL DAN POS