
MACAM-MACAM TOK RAUF BUAT UNTUK TANJUNG BIDARA
TANJUNG BIDARA 22 Oktober – Usaha mengembalikan kegemilangan Tanjung Bidara sebagai destinasi pelancongan, memperkukuh kemudahan komuniti nelayan serta mewujudkan tarikan baharu menerusi sukan rekreasi antara tumpuan pembangunan yang digerakkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di kawasan berkenaan.
Antara usaha itu termasuk mencantikkan semula Pantai Tanjung Bidara, membangunkan litar kereta kawalan jauh (RC) serta membina balai nelayan baharu di Pasir Gembur bagi meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan penduduk setempat.
Ab Rauf yang juga penyandang kerusi DUN Tanjung Bidara berkata, pembangunan kawasan itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan penduduk menikmati kemudahan lebih baik, selain membuka peluang ekonomi menerusi sektor pelancongan dan aktiviti komuniti.
Menurutnya, antara usaha yang diberi perhatian ialah penambahbaikan kawasan Pantai Tanjung Bidara yang mempunyai nilai sejarah dan potensi besar sebagai destinasi pelancongan.
Katanya, perobohan struktur lama yang menghalang pemandangan ke arah pantai serta pembinaan infrastruktur baharu telah mengubah wajah kawasan itu menjadi lebih menarik dan mesra pengunjung.
Usaha berkenaan turut menghidupkan semula kawasan yang sebelum ini sepi, sekali gus menarik lebih ramai pengunjung, merancakkan aktiviti perniagaan dan membuka peluang pendapatan kepada penduduk setempat.
Selain itu, pembangunan sebuah litar kereta kawalan jauh (RC) turut menambah daya tarikan Pantai Tanjung Bidara menerusi sukan rekreasi yang berpotensi menarik penyertaan peminat dari dalam dan luar negara.
Ab Rauf berkata, beliau mula melihat potensi sukan berkenaan ketika menghadiri satu pertandingan RC yang disertai peserta dari beberapa negara.
“Saya pernah dipanggil untuk merasmikan pertandingan RC ini dan ketika itu saya melihat ramai peserta dari luar negara seperti Jepun, China dan lain-lain.
“Jadi, ketika itulah saya berpandangan bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk mengangkat martabat Pantai Tanjung Bidara dan saya berusaha membina litar bertaraf dunia di sini,” katanya ketika berucap pada Program Makan Malam Santai bersama PDM Pasir Gembor, di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembinaan balai nelayan baharu di Pasir Gembur turut diberi perhatian bagi menyediakan kemudahan lebih selesa dan tersusun kepada komuniti nelayan, khususnya untuk menguruskan bot serta menjalankan aktiviti harian.
Katanya, kemudahan itu penting bagi memastikan komuniti nelayan yang menjadi antara kumpulan utama dalam ekonomi setempat mendapat perhatian sewajarnya.
“Alhamdulillah, balai nelayan ini sedang dibangunkan dan dijangka siap menjelang tahun ini bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada komuniti nelayan di sini,” katanya.
Mengulas mengenai amanah kepimpinan, Ab Rauf turut mengibaratkan kepimpinan sedia ada di Melaka sebagai sebuah ‘pohon rendang’ yang perlu dijaga dan dipelihara kerana mampu memberikan teduhan serta manfaat kepada masyarakat.
“Pohon ini kalau berbuah, kita dapat makan bersama. Kalau daunnya lebat, dapat kita berteduh daripada panas dan hujan.
“Jadi, janganlah ditebang. Jagalah pohon ini elok-elok dan anda semualah yang akan menentukan sama ada saya berdiri lagi di sini atau tidak nanti. Saya serahkan semuanya kepada anda,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

