
PRN MELAKA: AB RAUF DILANTIK PENGARAH PILIHAN RAYA BN
AYER KEROH 22 Oktober – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh secara rasmi dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Negeri Melaka bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 pada 14 November depan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata pelantikan itu menggantikan Datuk Seri Mohamad Hasan dengan mengambil kira komitmen beliau selaku Menteri Luar yang mempunyai pelbagai komitmen rasmi di luar negara sepanjang tempoh kempen pilihan raya berlangsung.
Menurutnya, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat perlu menghadiri beberapa mesyuarat antarabangsa termasuk membabitkan negara-negara Komanwel, mesyuarat serantau serta Sidang Kemuncak ASEAN.
“Dengan ini saya mengesahkan Datuk Ab Rauf adalah Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional di Melaka.
“Tok Mat sebagai Menteri Luar, kebetulan ketika kempen berjalan di Melaka, beliau banyak tugas di luar negara termasuk menghadiri mesyuarat negara-negara Komanwel dan juga tugas-tugas mewakili negara bagi mesyuarat serantau,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk BN bagi Pilihan Raya Umum Negeri Melaka Ke-16 Bil. 1/2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam ini.
Sebagai rekod, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN pernah menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Pilihan Raya gabungan itu di peringkat nasional termasuk menyelaras persiapan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau turut mengetuai gerak kerja pilihan raya BN ketika PRN Melaka pada 2021 dan PRN Johor pada 2022.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


