PRN MELAKA: BN, PAS DAN RAKAN STRATEGIK UMUM CALON DI PENTAS SAMA 24 OKTOBER

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 22 Oktober – Barisan Nasional (BN), PAS dan rakan strategik politik dijangka mengumumkan calon masing-masing di pentas yang sama pada 24 Oktober ini bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengumuman itu membabitkan 21 calon BN, manakala tujuh lagi calon akan diumumkan rakan kerjasama politik gabungan berkenaan.

Menurutnya, persetujuan mengenai pembahagian 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka telah dimuktamadkan, sementara perbincangan lanjut dalam kalangan rakan strategik dijadual berlangsung malam ini bagi menyelesaikan perkara yang masih berbangkit.

“Insya-Allah di pentas yang sama dan di dewan yang sama kita akan umumkan 21, mereka akan umumkan tujuh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk BN bagi Pilihan Raya Umum Negeri Melaka Ke-16 Bil. 1/2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ahmad Zahid berkata, perbincangan dengan parti komponen BN telah selesai, termasuk penyelarasan kawasan berdasarkan keserasian serta potensi kemenangan calon di kawasan masing-masing.

“Dengan rakan-rakan komponen kita selesai dan kita akan sesuaikan mengikut keserasian kawasan-kawasan yang pada pandangan mereka mungkin ada kemungkinan dan kebolehmenangannya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini menunggu hasil perbincangan rakan strategik yang dijadual berlangsung malam ini sebelum pengumuman calon dibuat pada Sabtu.

“Manakala dengan rakan-rakan kongsi politik kita ataupun rakan strategik kita, kita menunggu hasil perbincangan yang mereka mesyuarat pada malam ini dan insya-Allah segala-galanya akan selesai dengan baik.

“Sebagaimana yang saya nyatakan semalam di Masjid Tanah, segala-galanya telah dimuktamadkan mengikut jumlah kerusi yang kita bersetuju bersama,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengesahkan BN akan bertanding di 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka, manakala PAS bersama rakan gabungannya akan bertanding di baki tujuh kerusi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

165
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: AB RAUF DILANTIK PENGARAH PILIHAN RAYA BN