PRN MELAKA: AB RAUF KOMITED GALAS AMANAH, PERKUKUH JENTERA BN

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 23 Oktober – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bertekad melaksanakan amanah sebagai Pengarah Pilihan Raya BN negeri sebaik mungkin, dengan memberi tumpuan kepada penyelarasan gerak kerja parti komponen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan kepimpinan tertinggi parti akan dipikul menerusi usaha memperkemas pembahagian tugas dan tanggungjawab, selain memperkukuh kerjasama antara parti komponen bagi memastikan persiapan pilihan raya berjalan teratur.

Menurutnya, penyelarasan itu turut membabitkan peranan pemimpin yang dilantik sebagai bapa angkat parti komponen untuk membantu jentera masing-masing membuat persiapan menghadapi pilihan raya.

“Saya merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepada saya sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri Melaka dan akan saya sempurnakan tanggungjawab ini sebaik mungkin.

“Kita memberi tumpuan kepada penyelarasan tugas dan tanggungjawab bapa-bapa angkat parti komponen bagi membantu gerak kerja pilihan raya di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk BN bagi Pilihan Raya Umum Negeri Melaka Ke-16 Bil. 1/2026 yang dipengerusikan Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.

Ab Rauf berkata, kesefahaman antara kepimpinan dan parti komponen perlu diterjemahkan melalui kerjasama erat serta penyelarasan yang berkesan bagi mencapai matlamat bersama pada PRN kali ini.

“Saya berharap kesefahaman ini akan memberikan peluang yang baik untuk kita mencapai matlamat, supaya pilihan raya di Melaka kali ini mencerminkan kesepakatan yang dapat dibina.

“Jadi, saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden atas tanggungjawab yang diberikan sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri Melaka. Insya-Allah, amanah ini akan saya laksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengesahkan pelantikan Ab Rauf sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Melaka dengan mengambil kira komitmen Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Menteri Luar dan mempunyai pelbagai tugasan rasmi antarabangsa sepanjang tempoh kempen PRN.

Pelantikan itu meletakkan Ab Rauf sebagai peneraju penyelarasan gerak kerja pilihan raya BN di Melaka, termasuk memperkukuh kerjasama antara kepimpinan dan parti komponen menjelang hari pengundian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

131
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BN, PAS DAN RAKAN STRATEGIK UMUM CALON DI PENTAS SAMA 24 OKTOBER