
DEEPAVALI LEBIH BERMAKNA, 300 MASYARAKAT INDIA ASAHAN DISANTUNI
ASAHAN 23 Oktober – Kira-kira 300 masyarakat India khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan keluarga kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan disantuni sempena sambutan Deepavali tahun ini.
Penyandang kerusi DUN Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, daripada jumlah itu, 75 keluarga diziarahi menerusi program Ziarah Kasih Deepavali, manakala kira-kira 200 lagi penerima dijadualkan menerima sumbangan secara berkelompok dalam masa terdekat.
Menurutnya, program berkenaan merupakan inisiatif tahunan yang dilaksanakan sejak 2021 bagi mendekati masyarakat dan membantu golongan yang memerlukan ketika musim perayaan.
“Ziarah kasih ini kita adakan setiap kali musim perayaan utama seperti Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali bagi menyantuni rakyat, khususnya mereka yang memerlukan bantuan.
“Selain bertanya khabar dan melihat persiapan mereka menyambut perayaan, kita turut menyampaikan sumbangan bagi membantu meringankan beban keluarga,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada program Ziarah Kasih Deepavali di Kampung Jus Perdana, di sini, pada Khamis.
Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, pendekatan ziarah dari rumah ke rumah membolehkan pihaknya mendekati penduduk secara lebih dekat, selain mengenal pasti masalah dan keperluan sebenar keluarga untuk tindakan susulan.
“Apabila kita pergi dari rumah ke rumah, penduduk lebih selesa bercakap dan berkongsi masalah secara bersemuka. Dengan cara itu, kita dapat mengetahui keperluan sebenar mereka dan berusaha membantu mengikut kesesuaian,” katanya.
Menurutnya, menerusi kunjungan kali ini, pihaknya akan berusaha membantu sebuah keluarga mendapatkan komputer riba untuk anak mereka yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).
Selain itu, sebuah lagi keluarga akan dibantu untuk mendapatkan penilaian bagi kemungkinan peningkatan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tertakluk kepada kelayakan dan prosedur ditetapkan.
Fairul Nizam berkata, selain ziarah secara individu, program sumbangan secara berkelompok turut dilaksanakan bagi membolehkan lebih ramai penerima disantuni dalam tempoh yang sama.
Beliau berharap inisiatif berkenaan dapat diteruskan bagi memastikan golongan yang memerlukan terus mendapat perhatian, sekali gus menyemarakkan semangat prihatin dan kebersamaan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

