MAIM PERKUKUH AKIDAH 20 ANGGOTA TENTERA MUALAF

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SUNGAI UDANG 23 Oktober – Memperkukuh pegangan akidah dan membina kefahaman agama yang tepat dalam kalangan anggota tentera menjadi fokus Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi Bengkel Pengukuhan Akidah Saudara Muslim yang berlangsung selama dua hari di Kem Terendak.

Program anjuran Bahagian Balai Islam MAIM dengan kerjasama Pasukan Rejimen 21 Komando pada 20 hingga 21 Oktober itu menghimpunkan 20 anggota tentera yang terdiri daripada saudara baharu dan masih berkhidmat di Kem Sungai Udang.

MAIM dalam satu kenyataan memaklumkan, bengkel berkenaan bertujuan memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai akidah Islam, selain memperkukuh pegangan agama peserta dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa.

Menurut kenyataan itu, pengukuhan akidah penting bagi memastikan saudara baharu mempunyai kefahaman agama yang jelas serta mampu mengelakkan kekeliruan dalam beragama, khususnya ketika berhadapan pelbagai pengaruh dan cabaran yang semakin kompleks.

“Objektif utama program ini adalah memberikan lebih pemahaman dan pengukuhan akidah dalam kalangan anggota tentera berkenaan, selain mengelakkan berlakunya kekeliruan dalam beragama, lebih-lebih lagi dalam situasi sekarang yang sangat mencabar,” kata kenyataan MAIM.

Program yang berlangsung di Masjid As Syuhada, Kem Terendak itu turut menjadi platform memperkukuh kerjasama antara MAIM dan pihak tentera dalam usaha membimbing serta meningkatkan kefahaman Islam dalam kalangan saudara Muslim.

Majlis perasmian program disempurnakan Pegawai Pelaksana Pasukan Rejimen 21 Komando, Leftenan Kolonel Muhammad Zulzaidel, bersama barisan urus setia MAIM.

MAIM berharap usaha berterusan menerusi program seumpama itu dapat membantu memperkukuh ketetapan iman peserta, sekali gus membentuk individu yang teguh pegangan agama dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

233
Kongsi :
Previous post DUN SARAWAK BUBAR BERKUAT KUASA 26 OKTOBER – ABANG JOHARI