
UMUM CALON PENTAS BERBEZA, SEMANGAT BN-PAS TETAP UTUH – AB RAUF
PANTAI KUNDOR 23 Oktober – Meskipun hasrat Barisan Nasional (BN) untuk mengumumkan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bersama Pas di pentas sama malam esok tidak kesampaian, perkembangan itu tidak menjejaskan semangat kerjasama antara kedua-dua parti.
Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pihaknya menghormati keputusan Pas untuk tidak berkongsi pentas bagi pengumuman calon susulan kekangan teknikal berkaitan status Perikatan Nasional (PN) yang masih dalam proses mahkamah.
Ab Rauf yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Melaka berkata, penjelasan diberikan Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung perkara itu difahami pihaknya dan tidak seharusnya menimbulkan prasangka terhadap kerjasama yang telah dipersetujui.
“Kita menghormati keputusan Pas untuk tidak berkongsi pentas bagi pengumuman calon dan saya sudah mendengar penjelasan Datuk Seri Tuan Ibrahim.
“Saya hormati pendirian tersebut dan kita faham ia bukan soal semangat kerjasama tetapi kekangan teknikal yang perlu diselesaikan di peringkat mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi BN Parlimen Tangga Batu Datuk Rais Yasin; Pengerusi MCA Melaka Datuk Wira Lim Ban Hong; Penyandang kerusi DUN Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @Hashim serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, apa yang lebih penting adalah semangat dan matlamat kerjasama BN-Pas terus dipertahankan walaupun kedua-dua parti mengumumkan calon masing-masing di pentas berbeza.
Ab Rauf menegaskan tumpuan utama ketika ini adalah memastikan jentera BN bergerak lancar di lapangan bagi menterjemahkan kerjasama berkenaan kepada kemenangan pada PRN Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

