
JENTERA UMNO DIMINTA BANTU KEMENANGAN RAKAN STRATEGIK
JASIN 23 Oktober – Jentera UMNO diminta memberikan sokongan kepada rakan strategik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi memastikan kerjasama politik itu diterjemahkan kepada kemenangan.
Presiden UMNO Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu memerlukan komitmen kedua-dua pihak, termasuk memastikan jentera dan penyokong memberikan undi kepada calon yang dipersetujui.
Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) akan bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala rakan strategiknya akan bertanding di tujuh kerusi.
“Saya minta semua jentera dan juga undi daripada UMNO serta BN, saya harap berikan pada mereka supaya ada kerjasama yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Peringkat Parlimen Jasin sempena PRN Melaka Ke-16 di Dewan MPJ Alamanda, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi BN Melaka yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Setiausaha Agung UMNO Malaysia Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu Datuk Rais Yasin.
Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Azman Abdullah; Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin Datuk Siti Faizah Abd Azis.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kedua-dua pihak perlu melupakan perselisihan lalu dan saling membantu demi memastikan kerjasama itu membuahkan hasil pada PRN Melaka kali ini.
“Kita ‘forgive and forget’, kita lupakan yang lama, kita rangkul yang baharu supaya penyatuan ummah ini dapat kita lakukan, insya-Allah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


