
‘BARANG ORDER, BARANG ITU MELAKA DAPAT’, AHMAD ZAHID BERI BAYANGAN AB RAUF KEKAL KETUA MENTERI
JASIN 23 Oktober – Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh diberi bayangan akan kekal sebagai Ketua Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) dan rakan strategik memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Itu kata Pengerusi BN Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang yakin dengan pengalaman dan keupayaan Ab Rauf yang dikenalinya sejak pemimpin itu berkhidmat sebagai Setiausaha Kerja UMNO Malaysia.
Beliau berkata, Negeri Melaka amat bertuah mempunyai pemimpin seperti Ab Rauf yang komited bekerja demi kepentingan parti dan negeri.
“Kalau benih yang baik bila jatuh ke laut menjadi pulau. Inilah dia Datuk Rauf.
“Insya-Allah Datuk Rauf, walaupun kita order barang (secara) online, itu barang yang order, barang itulah juga yang Melaka akan dapat.
“Nak pilih siapa lagi (jadi Ketua Menteri)? Hajat hati saya, ya (Datuk Rauf),” katanya ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional Peringkat Parlimen Jasin sempena PRN Melaka Ke-16 di Dewan MPJ Alamanda, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Setiausaha Agung UMNO Malaysia Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu Datuk Rais Yasin; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Azman Abdullah; Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin Datuk Siti Faizah Abd Azis.
Justeru, Ahmad Zahid berharap seluruh jentera BN memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Ab Rauf dan bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan parti itu memperoleh keputusan terbaik pada PRN Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


