
PRN MELAKA: BN SASAR TAMBAH DUA HINGGA TIGA – AB RAUF
JASIN 23 Oktober – Barisan Nasional (BN) menyasarkan penambahan dua hingga tiga kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 menerusi kerjasama dengan rakan strategik, kata Pengerusi BN negeri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ab Rauf berkata, walau bagaimanapun kerjasama itu perlu diperkasakan dengan gerak kerja bersungguh-sungguh, sekali gus memastikan gabungan berkenaan dapat terus menerajui pentadbiran negeri.
Katanya, BN akan bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala tujuh kerusi lagi diberikan kepada rakan strategik.
“Kalau kita semua bekerja kuat, kita akan dapat menambah dua ataupun tiga kerusi lagi untuk terus menerajui Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional Peringkat Parlimen Jasin sempena PRN Melaka Ke-16 yang dilancarkan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Dewan MPJ Alamanda, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Setiausaha Agung UMNO Malaysia Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu Datuk Rais Yasin.
Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Azman Abdullah; Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin Datuk Siti Faizah Abd Azis dan kenamaan lain.
Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka berkata, jentera parti tidak boleh leka walaupun BN pernah memperoleh kemenangan pada PRN sebelum ini, sebaliknya perlu bekerja keras bagi mendapatkan sokongan rakyat.
“Kita sudah ada pengalaman, menang pilihan raya umum negeri, kalah pilihan raya umum Parlimen. Pengalaman ini mengajar kita supaya jangan leka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

