LIMA DUN PARLIMEN JASIN MESTI KEMBALI KE PANGKUAN BN – TOK RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

JASIN 23 Oktober – Barisan Nasional (BN) menyasarkan untuk merampas semula kesemua lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Jasin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, seluruh jentera parti perlu mengekalkan semangat dan komitmen bagi mencapai sasaran berkenaan.

Ab Rauf menegaskan, jentera tidak boleh berundur atau membiarkan semangat perjuangan luntur ketika berdepan persaingan politik, sebaliknya sentiasa berusaha mendapatkan sokongan rakyat.

“Semangat kena kuat, jangan luntur, jangan berundur, bukan selangkah setapak pun kita jangan berundur. Kita tetap akan pastikan kelima-lima DUN dalam Jasin ini kembali kepada UMNO dan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional Peringkat Parlimen Jasin sempena PRN Melaka Ke-16 yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Dewan MPJ Alamanda di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Setiausaha Agung UMNO Malaysia Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu Datuk Rais Yasin; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Azman Abdullah; Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin Datuk Siti Faizah Abd Azis dan kenamaan lain.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka berkata, seluruh jentera perlu terus bekerja keras dan mengekalkan kesatuan bagi memastikan sasaran mendapatkan semula lima kerusi DUN di Jasin dapat diusahakan.

“Pastinya pilihan raya ini merupakan satu pertandingan dan satu pertempuran politik yang akan menggambarkan bahawa masing-masing mempunyai kekuatan untuk merampas Kerajaan Negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

135
Kongsi :
Previous post BN SASAR KEMENANGAN LEBIH BESAR DI PANTAI KUNDOR
Next post PRN MELAKA: BN SASAR TAMBAH DUA HINGGA TIGA – AB RAUF