
BN SASAR KEMENANGAN LEBIH BESAR DI PANTAI KUNDOR
PANTAI KUNDOR 23 Oktober – Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor menyasarkan kemenangan lebih besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dengan kesiapsiagaan jentera dan kerjasama berpasukan menjadi antara fokus utama bagi memastikan sasaran itu tercapai.
Penyandang kerusi DUN Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @Mohd Hashim berkata, semua jentera yang dilantik perlu melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin bagi memastikan kerusi berkenaan terus menyumbang kepada kekuatan BN Melaka.
Katanya, meskipun kerjasama politik berpotensi memberikan kelebihan kepada BN semua jentera tidak boleh mengambil mudah persaingan bakal dihadapi.
“Menerusi kerjasama kita boleh mencapai kemenangan yang lebih besar, namun kerja keras perlu diteruskan, kita tidak boleh berasa selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN DUN Pantai Kundor yang disempurnakan Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi BN Parlimen Tangga Batu Datuk Rais Yasin; Pengerusi MCA Melaka Datuk Wira Lim Ban Hong serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Tuminah berkata, persiapan menghadapi PRN bukan sekadar bergantung kepada jumlah kehadiran dalam sesuatu program, sebaliknya memerlukan kesatuan, komitmen dan kerjasama berterusan daripada seluruh jentera.
“Saya juga mahu menzahirkan penghargaan kepada semua sayap parti, ketua cawangan dan rakan parti komponen yang menunjukkan komitmen dalam menjayakan pelancaran jentera BN DUN Pantai Kundor.
“Segala usaha yang dilaksanakan ketika ini perlu diterjemahkan kepada sokongan sebenar pengundi pada hari pengundian nanti pada 14 November ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

