PRN MELAKA: AB RAUF MAHU BN-PAS BERGERAK SEIRING, JANGAN ADA DUSTA

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

JASIN 24 Oktober – Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 perlu diterjemahkan menerusi gerak kerja bersama di peringkat akar umbi, bukan sekadar kesepakatan politik.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kedua-dua pihak perlu menggerakkan tugasan pilihan raya secara seiring bagi memastikan matlamat yang dipersetujui dapat dicapai.

Beliau berharap kerjasama itu dapat dilaksanakan tanpa prasangka, termasuk menerusi aktiviti Jalinan Rakyat (JR) dan gerak kerja di kawasan masing-masing.

“Jadi kita bekerjasamalah tanpa prasangka, jangan ada dusta di antara kita untuk kita menang.

“Bawalah gerak kerja, kalau Jalinan Rakyat (JR), jalanlah bersama dengan JR, kalau mahu buat kerja buatlah bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional Peringkat Parlimen Jasin sempena PRN Melaka Ke-16 yang dilancarkan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Dewan MPJ Alamanda, di sini, malam tadi.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka berkata, jentera parti perlu bergerak bersama dalam melaksanakan tugasan pilihan raya, termasuk menerusi gerak kerja di peringkat jentera dan kawasan masing-masing.

Katanya, kerjasama itu perlu dilaksanakan dengan baik bagi memastikan kedua-dua pihak dapat bergerak seiring dalam menghadapi PRN Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

168
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BN SASAR TAMBAH DUA HINGGA TIGA – AB RAUF