
PRN MELAKA: ‘TAK BERTANDING TAK APA, YANG PENTING BN MENANG’ – DR. AKMAL
JASIN 24 Oktober – Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menegaskan kesediaannya menerima apa juga keputusan pucuk pimpinan parti berhubung pemilihan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, termasuk sekiranya beliau tidak dipilih bertanding.
Beliau berkata, keutamaan jentera parti di peringkat akar umbi adalah memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Jasin, bukannya mengutamakan individu yang bakal dipilih sebagai calon.
“Kalau ditakdirkan jika Ketua UMNO Bahagian Jasin sendiri pun tidak bertanding, tiada masalah,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional Peringkat Parlimen Jasin sempena PRN Melaka Ke-16 yang dilancarkan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Dewan MPJ Alamanda, di sini, malam tadi.
Hadir sama Pengerusi BN Melaka merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Agung UMNO Malaysia Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu Datuk Rais Yasin.
Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Azman Abdullah; Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin Datuk Siti Faizah Abd Azis dan kenamaan lain.
Dr. Muhamad Akmal berkata, seluruh jentera parti perlu akur dengan keputusan pucuk pimpinan kerana matlamat utama mereka adalah memastikan kemenangan BN di kawasan berkenaan.
Katanya, pemilihan calon bukan perkara utama bagi jentera akar umbi, sebaliknya komitmen untuk bekerja bagi memenangkan parti perlu menjadi keutamaan.
“Justeru saya mengingatkan jentera supaya belajar daripada pengalaman pilihan raya lalu dan bekerja keras bagi mengelakkan kekalahan berulang pada PRN kali ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

