TUMINAH BERI BAYANGAN MAHU PERTAHAN PANTAI KUNDOR

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PANTAI KUNDOR 24 Oktober – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @Mohd Hashim memberi bayangan bersedia mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Tuminah bagaimanapun menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi parti untuk memutuskan calon bagi bertanding di kerusi berkenaan.

Beliau yang dilantik Pengarah PRN BN Jentera DUN Pantai Kundor berkata, kepercayaan yang diberikan Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menjadi dorongan untuk terus melaksanakan tanggungjawab kepada parti dan rakyat.

“Perjalanan menuju PRN ini masih panjang dan keutamaan ketika ini ialah memastikan jentera pilihan raya berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik.

“Sudah tentu saya mahu mempertahankan kerusi yang saya duduki kini, tetapi perjalanan kita masih jauh dan banyak kerja yang perlu dilaksanakan dan kita bekerja untuk parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN DUN Pantai Kundor yang disempurnakan Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi BN Parlimen Tangga Batu Datuk Rais Yasin; Pengerusi MCA Melaka Datuk Wira Lim Ban Hong serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Tuminah berkata, keputusan rasmi mengenai calon perlu ditunggu daripada kepimpinan parti dan tidak wajar dibuat berdasarkan sebarang petunjuk awal.

Jelasnya, fokus utama ketika ini ialah memastikan kesatuan, kerjasama berpasukan dan komitmen jentera dapat diperkukuh menjelang PRN pada 14 November ini.

“Sebarang kelebihan politik tidak boleh dijadikan alasan untuk mengurangkan usaha, sebaliknya semua pihak perlu terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan BN di DUN Pantai Kundor ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

503
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: ‘TAK BERTANDING TAK APA, YANG PENTING BN MENANG’ – DR. AKMAL