
DILEMA TUKANG BOT, MENCARI ‘TANGAN BAHARU’ PENYAMBUNG LEGASI
SERKAM 24 Oktober – Di sebalik bot nelayan yang berulang-alik ke laut, terdapat kemahiran membaiki badan bot, memasang gentian kaca dan mengecat yang memerlukan pengalaman serta ketelitian.
Namun, di Pantai Siring, kemahiran itu berdepan persoalan tentang kesinambungannya apabila generasi muda perlu tampil mempelajari kerja berkenaan bagi memastikan kepakaran tukang bot terus diwarisi.
Bagi Omar Othman, 58, yang lebih dikenali sebagai Papa Kelong dalam kalangan komuniti nelayan setempat, kehadiran pelapis penting bukan sahaja untuk meneruskan kemahiran itu, malah memastikan nelayan mempunyai tenaga mahir untuk membaiki bot apabila diperlukan.
Katanya, tenaga muda perlu diberi peluang mendekati bidang berkenaan supaya kemahiran yang dipelajari melalui pengalaman dan kerja praktikal tidak terhenti pada generasi sedia ada.
“Kami memang mengalu-alukan anak-anak muda, terutama yang baru menamatkan pengajian, untuk datang bekerja sambil menimba pengalaman.
“Mereka boleh belajar sendiri bagaimana bot dibaiki, dipasang gentian kaca dan dicat,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Pantai Siring, di sini.
Menurutnya, kerja membaiki bot memerlukan ketelitian dan pengalaman kerana setiap kerosakan perlu dikenal pasti sebelum kerja pembaikan dilakukan.
Daripada membaiki bahagian badan bot hingga memasang gentian kaca dan mengecat semula permukaannya, setiap tugasan memerlukan kemahiran praktikal yang dipelajari melalui latihan serta pengalaman di lapangan.
Omar berpandangan, sekiranya tiada tenaga mahir yang mampu melakukan kerja berkenaan, nelayan bakal berdepan kesukaran mendapatkan perkhidmatan pembaikan apabila bot mengalami kerosakan.
“Bayangkan kalau di kawasan pantai ini tiada langsung tempat untuk membaiki bot. Nelayan yang botnya rosak tentu berdepan kesukaran untuk mendapatkan perkhidmatan pembaikan.
“Sebab itu kemahiran ini perlu diteruskan. Kita perlukan orang yang tahu membaiki bot supaya apabila generasi sekarang tidak lagi mampu melakukan kerja ini, masih ada tenaga muda yang boleh mengambil alih,” katanya.
Selain menjadi keperluan kepada komuniti maritim, bidang berkenaan turut menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan muda yang berminat mempelajari kemahiran teknikal.
Menurut Omar, kerja membaiki bot, mengecat dan memasang gentian kaca boleh memberikan sumber pendapatan yang baik berdasarkan jenis serta skop tugasan yang dilakukan.
Justeru, ujarnya, pengalaman bekerja bersama pengusaha dan pekerja berkemahiran di Pantai Siring boleh menjadi ruang kepada anak muda untuk belajar secara langsung sambil memahami selok-belok pekerjaan itu.
“Pendedahan kepada proses pembaikan sebenar, peluang belajar sambil bekerja serta kefahaman mengenai permintaan komuniti nelayan boleh membantu memperkenalkan bidang ini kepada generasi baharu,” katanya.
Usaha memperkenalkan bidang berkenaan kepada golongan muda, termasuk melalui peluang belajar sambil bekerja, boleh menjadi langkah awal untuk memastikan kemahiran membaiki bot terus mempunyai pelapis.
Bagi Papa Kelong, persoalannya bukan sekadar siapa yang sanggup mempelajari kerja itu hari ini, tetapi siapa yang akan meneruskannya apabila tukang bot berpengalaman tidak lagi mampu bekerja.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

