
39 PERSIMPANGAN MELAKA DILENGKAPI LAMPU ISYARAT PINTAR
AYER KEROH 24 Oktober – Sebanyak 39 persimpangan strategik di Melaka dilengkapi sistem Lampu Isyarat Pintar (STL) sejak 2023 hingga tahun ini menerusi peruntukan RM4.42 juta bagi membantu mengurai kesesakan trafik, terutama ketika waktu puncak.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pelaksanaan sistem itu membabitkan empat fasa iaitu STL23, STL24, STL25 dan STL26 dengan jumlah kos kontrak RM4,428,060.
Katanya, pelaksanaan terbaharu tahun ini membabitkan tiga persimpangan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) dengan kos kontrak RM657,340.
“Pelaksanaan itu merangkumi kawasan pelupusan sampah, Penjara Sungai Udang dan beberapa lokasi di Sungai Udang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata, pada 2025, sebanyak RM1.52 juta dibelanjakan bagi pemasangan STL di tujuh persimpangan melibatkan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Lebuh SPA dan Jalan Batu Berendam.
Antara lokasi terbabit ialah Jelatang, Taman Seri Bayu, Taman Bertam Setia, Taman Bertam Impian, Taman Seri Bertam, Pengkalan Batu dan Taman Melaka Baru.
Menurutnya, pada 2024, sistem STL dipasang di 11 persimpangan, masing-masing lapan di Lebuh AMJ dan tiga di Lebuh SPA.
Lokasi terbabit termasuk Bukit Piatu, Pulau Gadong, Cheng, Simpang Ampat, Terminal Kenderaan Berat, Gangsa dan Krubong.
“Pada 2023, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi pemasangan sistem itu di tujuh persimpangan di Lebuh Ayer Keroh, termasuk persimpangan Ayer Keroh, Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC), Hospital Pantai, Melaka Mall, kawasan Gong Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Air Terjun Bukit Sebukor dan Padang Jambu,” katanya.
Hameed berkata, secara keseluruhan, pemasangan STL sepanjang empat tahun itu meliputi beberapa laluan utama bagi memperkukuh sistem pengurusan trafik negeri.
Katanya, penggunaan lampu isyarat pintar itu antara usaha Kerajaan Negeri membantu mengurai kesesakan di persimpangan yang dikenal pasti mengalami kepadatan trafik, khususnya ketika waktu puncak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

