MELAKA SALUR RM90.55 JUTA UNTUK KEBAJIKAN RAKYAT, 42,521 TERIMA MANFAAT

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 24 Oktober – Sebanyak RM90.55 juta bantuan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Kebajikan disalurkan Kerajaan Negeri Melaka sepanjang 2021 hingga September 2026, membabitkan 42,521 penerima dalam usaha memastikan manfaat pembangunan turut dirasai rakyat.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia membuktikan pentadbiran beliau bukan hanya memberi fokus kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan tetapi juga menterjemahkannya kepada manfaat nyata dalam kehidupan rakyat.

“Atas prinsip itulah, agenda kebajikan terus kita berikan perhatian. Sepanjang tahun 2021 hingga September 2026, sebanyak RM90.55 juta Bantuan MeSRa Kebajikan telah disalurkan,
melibatkan 42,521 penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon Barisan Nasional Negeri Melaka yang disempurnakan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Utama Mohamad Hasan; Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan; Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Dr. Loga Bala Mon; Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Bendahari Agung Barisan Nasional Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, komitmen kebajikan turut merangkumi masyarakat berbilang kaum di negeri ini, termasuk bantuan kepada komuniti Cina dan India sempena sambutan perayaan.

Menurutnya, bantuan berkenaan membabitkan peruntukan melebihi RM3 juta sebagai usaha memastikan kebajikan masyarakat terus diberi perhatian tanpa mengira kaum.

Beliau berkata, pendekatan itu mencerminkan usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan pembangunan Melaka dilaksanakan secara inklusif, dengan kebajikan rakyat menjadi antara keutamaan pentadbiran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

331
Kongsi :
Previous post BN MELAKA TELAH LAKSANA SEMUA MANIFESTO 2021
Next post KERJASAMA BIRU-HIJAU, LALUAN KE PUTRAJAYA SEMAKIN CERAH – ZAHID