MPHTJ GEMPUR WARGA ASING, SITA PERALATAN PERNIAGAAN

Masa Membaca:58 Saat

KESIDANG 31 Oktober – Tujuh warga asing ditahan manakala peralatan perniagaan disita dalam Operasi Pasar Borong dan Premis Judi di Pasar Borong Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Rumah Pangsa Murni, Ayer Keroh pada 23 Oktober lalu.

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Haron berkata, dua lelaki warga Bangladesh ditahan ketika pemeriksaan di pasar borong, manakala empat warga Nepal dan seorang warga Indonesia ditahan di Rumah Pangsa Murni untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, operasi berkenaan dilaksanakan Jabatan Penguatkuasaan MPHTJ dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Melaka dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Menurutnya, pemeriksaan di Pasar Borong MPHTJ tidak menemukan warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan ketika serbuan dilakukan.

Bagaimanapun, pemeriksaan di Rumah Pangsa Murni mendapati terdapat premis perniagaan beroperasi tanpa lesen dan dikendalikan warga asing.

“Sehubungan itu, Jabatan Penguatkuasaan MPHTJ mengambil tindakan sitaan terhadap peralatan perniagaan di premis berkenaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sapiah berkata, tindakan terhadap premis yang beroperasi tanpa lesen itu dilaksanakan mengikut Undang-Undang Kecil Tred MPHTJ 2010.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan seumpama itu akan terus diberi perhatian bagi memastikan semua pengusaha mematuhi peraturan pelesenan perniagaan yang ditetapkan pihak majlis.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

220
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: AB RAUF BERDEPAN CABARAN MUKA BAHARU DI TANJUNG BIDARA
Next post PRN MELAKA: PENGALAMAN JADI UKURAN, BUKAN SEKADAR USIA – AB RAUF