SYARIKAT JANAKUASA ELEKTRIK RANCANG PELABURAN RM6 BILION DI TANJUNG BIDARA

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

TANJUNG BIDARA 29 Oktober – Sebuah syarikat janakuasa elektrik di Tanjung Bidara merancang pelaburan baharu bernilai RM6 bilion yang dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelaburan yang dirancang Edra Power Holdings Sdn. Bhd. itu berpotensi memberi kesan limpahan ekonomi kepada masyarakat termasuk menyediakan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan serta meningkatkan pengalaman tenaga kerja tempatan.

Menurutnya, kemasukan pelaburan berskala besar bukan sekadar membawa pembangunan fizikal sebaliknya turut merangsang aktiviti perniagaan dan peredaran kewangan dalam kawasan berkenaan.

“Apabila ada satu pembangunan, sektor ekonomi itu akan berkembang, pusingan kewangan akan menjadi lebih baik dan nikmatnya dapat kepada kita kerana kita telah pun dapat mengurangkan pengangguran.

“Orang tak bekerja dapat kerja, orang yang tak ada pengalaman dapat pengalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sumbangan Tanggungjawab Sosial (CSR) Edra dan Komuniti Tanjung Bidara di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi dan Presiden Edra Power Holdings Sdn Bhd, Zhong Xianjue.

Ab Rauf yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara berkata, perancangan pelaburan berkenaan turut mencerminkan potensi kawasan itu yang mampu menarik pembangunan ekonomi berskala besar.

Katanya, rakyat perlu melihat pembangunan daripada perspektif lebih luas kerana manfaat yang terhasil bukan semestinya dapat dirasai secara langsung, namun memainkan peranan penting dalam menjamin keselesaan dan kesejahteraan kehidupan.

“Apa nikmat yang kita dapat? Kita hidup aman, selesa, sejahtera, itulah nikmat yang kita dapat kerana kita disumbangkan oleh tiang-tiang seri ekonomi yang tanpa kita sedari. Kita tak perasan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri menegaskan pengurusan kawasan yang baik serta hubungan strategik dengan pihak industri merupakan antara faktor penting bagi memastikan pelaburan terus dapat dibawa masuk untuk manfaat rakyat.

Beliau turut mengingatkan bahawa setiap pembangunan yang dilaksanakan hari ini merupakan pelaburan jangka panjang bagi menyediakan masa depan lebih baik kepada generasi akan datang.

“Masa depan kita, kita bina hari ini. Itu adalah amanah untuk kita beri pada anak cucu kita dan masa depan mereka,” katanya.

Sebagai rekod, kawasan Telok Gong di Tanjung Bidara menempatkan Loji Janakuasa Edra Melaka berkapasiti 2,242 megawatt (MW) yang memulakan operasi komersial sepenuhnya pada 28 Februari 2022.

Loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) itu merupakan antara kemudahan penjanaan elektrik berskala besar yang menyokong keperluan bekalan tenaga di Semenanjung Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

356
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BN PASTIKAN SEMUA KAUM ADA SUARA – AHMAD ZAHID
Next post FELCRA AGIH KEUNTUNGAN RM190.6 JUTA, NAIK 50.2 PERATUS