PRN MELAKA: BN PASTIKAN SEMUA KAUM ADA SUARA – AHMAD ZAHID

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 29 Oktober – Barisan Nasional (BN) terus memberi ruang kepada masyarakat pelbagai kaum untuk diwakili dalam kepimpinan negeri apabila MCA bersetuju bertanding di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, persetujuan itu dicapai selepas kepimpinan tertinggi MCA mengadakan mesyuarat, sekali gus memperlihatkan komitmen BN memastikan representasi pelbagai kaum terus diberi perhatian.

Beliau berkata, keseimbangan perwakilan penting bagi mencerminkan kemajmukan masyarakat Melaka, selain memastikan kepentingan pelbagai golongan dapat dibawa ke peringkat kepimpinan negeri.

“Persetujuan telah diperoleh daripada pihak MCA dan mereka telah mengadakan mesyuarat kepimpinan tertinggi parti. Sebagaimana diumumkan presidennya, MCA akan tetap bertanding di dua kerusi DUN.

“Insya-Allah, dari segi representasi di DUN, kita akan memberikan peluang kepada mereka untuk mewakili masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih Interim 2/2026 Projek-Projek Peserta FELCRA Berhar di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, BN mahu meyakinkan pengundi bahawa gabungan itu terus memberi ruang kepada pelbagai kaum dan golongan masyarakat untuk diwakili dalam kepimpinan politik negeri.

“Kita yakin kemajmukan di Melaka khususnya ini penting untuk memperlihatkan keseimbangan representasi mereka di peringkat kepimpinan negeri dan juga di peringkat politik Negeri Melaka,” katanya.

Sebelum ini, MCA menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap pembahagian kerusi BN selepas hanya diperuntukkan dua kerusi berbanding tujuh pada PRN Melaka 2021.

Bagaimanapun, selepas rundingan dengan Ahmad Zahid, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong mengesahkan parti itu bersetuju bertanding di dua kerusi berkenaan, iaitu DUN Machap Jaya dan Klebang, selain menggunakan logo BN pada PRN kali ini.

Kedua-dua kerusi itu akan ditandingi penyandangnya, Datuk Ngwe Hee Sem di Machap Jaya dan Datuk Lim Ban Hong di Klebang.

PRN Melaka Ke-16 dijadual berlangsung pada 14 November ini, manakala penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

337
Kongsi :
Previous post RM200,000 PERUNTUKAN DEEPAVALI UNTUK MASYARAKAT INDIA MASJID TANAH
Next post SYARIKAT JANAKUASA ELEKTRIK RANCANG PELABURAN RM6 BILION DI TANJUNG BIDARA