BALAU PECAH 3 REKOD, KINI BURU TAKHTA ASEAN

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BANDA HILIR 29 Oktober – Kejayaan memenangi tiga pingat emas dengan memecahkan rekod pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 menjadi pembakar semangat buat atlet para Melaka, Muhammad Hafiq Hizwan Norizan atau lebih dikenali sebagai Balau untuk memburu kejayaan lebih besar pada Sukan Para ASEAN 2027.

Atlet berusia 24 tahun itu mencipta rekod baharu kejohanan bagi acara pecut 100 meter dan 200 meter lelaki T46, selain memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 400 meter.

Balau berkata, kejayaan itu di luar jangkaannya dan menjadikan tahun ini antara detik paling bermakna sepanjang perjalanan karier sukannya.

“Alhamdulillah, tahun ini amat berbeza bagi saya kerana berjaya memecahkan tiga rekod. Saya sendiri tidak pernah menjangkakan dapat mencipta rekod sebanyak tiga kali,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Insentif Pemenang Pingat Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.

Atas kejayaan membanggakan itu, anak jati Klebang tersebut menerima insentif berjumlah RM15,000 daripada Kerajaan Negeri.

Insentif itu telah disampaikan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri yang merupakan wakil rasmi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh.

Menurut Balau, insentif berkenaan bukan sahaja menjadi pengiktirafan terhadap pencapaiannya, malah dapat membantu persediaan awal bagi menghadapi Sukan Para ASEAN 2027 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur, Oktober tahun depan.

Jelasnya, tumpuan kini diberi kepada peningkatan prestasi terutamanya dalam acara 100 meter, bagi merealisasikan impian meraih pingat emas pada temasya berkenaan.

“Insentif ini sedikit sebanyak membakar dan menyuntik semangat saya untuk terus mencipta rekod baharu, insya-Allah.

“Sasaran saya sudah semestinya pingat emas. Saya sudah mencatat masa 11.5 saat, manakala rekod Para ASEAN Games ketika ini ialah 11.3 saat. Saya percaya sasaran itu mampu dicapai dengan usaha berterusan,” katanya.

Balau berkata, beliau akan terus memperkemas persiapan dan meningkatkan prestasi bagi memastikan kejayaan di peringkat kebangsaan dapat diterjemahkan kepada pencapaian membanggakan di pentas antarabangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

901
Kongsi :
Previous post ISTERI TPM, TOK HAMEED SANTUNI ANAK ISTIMEWA AYER LIMAU