PRN MELAKA: ZAHARI TIDAK KECEWA, TEKAD BERJUANG DENGAN ‘CIKGU MUS’ DI DURIAN TUNGGAL

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

DURIAN TUNGGAL 28 Oktober – Tidak terpilih mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 bukan titik noktah perjuangan politik Datuk Zahari Abd Kalil, sebaliknya beliau bertekad meneruskan khidmat kepada masyarakat bersama Barisan Nasional (BN).

Mantan Adun Durian Tunggal itu berkata, beliau menerima keputusan parti dengan hati terbuka kerana menyedari peluang yang diberikan kepadanya untuk menjadi wakil rakyat selama lima tahun sebelum ini adalah hasil kepercayaan UMNO dan BN.

Katanya, beliau tidak mempunyai alasan untuk kecewa apabila calon baharu yang dipilih parti, Datuk Dr. Mustafa Musa, juga merupakan sahabat seperjuangan yang dikenalinya sejak sekian lama.

Katanya, beliau mengenali Mustafa sejak bertahun-tahun lalu dan yakin sahabatnya itu mampu meneruskan usaha membangunkan kawasan berkenaan serta memenuhi keperluan penduduk.

“Sahabat saya, Cikgu Mus (Mustafa Musa) yang datang (untuk bertanding) di sini. Jadi, kenapa saya perlu kecewa? Saya tidak kecewa, sebaliknya apabila tidak dicalonkan saya masih terus berjalan dan berjumpa rakyat hingga ke hari ini.

“Saya janji tidak akan lari ke mana-mana. Saya akan terus bekerjasama dengan Cikgu Mustafa sekiranya beliau menang pada PRN ini.

“Saya mahu perjuangan untuk anak-anak dan penduduk DUN Durian Tunggal diteruskan. Saya akan meminta calon melakukan perkara yang sama seperti yang saya lakukan sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita.

Menurut Zahari, selepas lima tahun berkhidmat di Durian Tunggal, beliau amat terharu apabila menerima sokongan daripada penduduk yang menyuarakan hasrat supaya beliau terus menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan, termasuk individu yang jarang ditemuinya sebelum ini.

“Ini satu jasa yang saya rasa tidak boleh balas. Jasa orang-orang DUN Durian Tunggal sepanjang saya berkhidmat akan saya kenang sampai bila-bila.

“Niat saya sejak awal menceburi politik bukanlah untuk mengejar pangkat atau jawatan, tetapi untuk berkhidmat bersama-sama orang kampung dan membantu penduduk DUN ini,” tambahnya.

Sehubungan itu, Zahari menyeru penduduk Durian Tunggal supaya memberikan sokongan kepada BN dan Mustafa agar kesinambungan pembangunan serta khidmat kepada masyarakat di kawasan itu dapat diteruskan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

876
Kongsi :
Previous post MPBN MELAKA BAWA SUARA BELIA, USUL 2026 DIBAHAS
Next post MAHASISWA USM SUMBANG TENAGA, INDAHKAN MASJID AYER PASIR