
EDRA SUMBANG RM40,000 BANTU 150 KELUARGA DI DUN TANJUNG BIDARA
TANJUNG BIDARA 29 Oktober – Seramai 150 keluarga daripada 14 kampung seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara menerima manfaat menerusi sumbangan RM40,000 daripada EDRA Power Holdings Sdn Bhd.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sumbangan menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu memberi tumpuan kepada keluarga kurang berkemampuan dan warga emas dalam usaha meringankan beban golongan memerlukan.
Ab Rauf yang juga penyandang kerusi DUN Tanjung Bidara berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen sektor korporat untuk bersama-sama membantu masyarakat setempat.
“Usaha EDRA menyantuni penduduk DUN Tanjung Bidara bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sosial syarikat, malah membawa makna besar kepada penerima yang memerlukan perhatian dan sokongan.
“Bagi saya, apa yang EDRA lakukan hari ini bukan sekadar satu program CSR tapi ia lebih daripada itu, ia membawa sentuhan kemanusiaan, ada hati yang digembirakan, ada beban yang diringankan dan ada insan yang merasakan dirinya dihargai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program CSR EDRA Power Holdings Sdn Bhd DUN Tanjung Bidara di Villa D’ Acqua, Kampung Pulau, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi dan Presiden Edra Power Holdings Zhong Xianjue serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan dan warga EDRA atas kesudian berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat.
“Kerjasama seperti ini perlu diteruskan kerana usaha menjaga kebajikan rakyat bukan hanya tanggungjawab kerajaan, sebaliknya boleh diperkukuh menerusi penglibatan sektor swasta dan komuniti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


