MPBN MELAKA BAWA SUARA BELIA, USUL 2026 DIBAHAS

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BANDARAYA MELAKA 28 Oktober – Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Melaka menjadi platform penting untuk mengangkat suara dan usul anak muda, dengan tindakan susulan kerajaan terhadap setiap cadangan menjadi antara penentu keberkesanan agenda pembangunan belia.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, MPBN yang tertakluk di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 berperanan sebagai badan perundingan rasmi berkaitan dasar pembangunan belia.

Menurutnya, pendekatan baharu yang lebih berfokus perlu diterapkan dalam pelaksanaan program pembangunan belia supaya idea dan pandangan golongan itu dapat dimanfaatkan bagi merancang hala tuju negeri serta negara.

“Majlis ini sangat bertepatan dan boleh dijadikan medium perbincangan berkesan melalui idea bernas.

“Golongan belia bukan sahaja merupakan aset negara, malah tingkah laku dan corak pemikiran mereka hari inilah yang akan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan,” katanya pada Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Melaka Sidang II, Penggal Ke-35, Sesi 2025-2026, di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.

Teks ucapan Ketua Menteri dibacakan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam.

Hadir sama, Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Melaka, Ahmad Syammeil Mohamad Karim.

Sementara itu, Khaidhirah berkata, keberkesanan persidangan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah usul yang dibentangkan semata-mata, sebaliknya turut bergantung kepada tindakan susulan serta maklum balas berkesan daripada pihak kerajaan.

Menurutnya, persidangan berkenaan memberi ruang kepada anak muda berkongsi pengalaman dan membangkitkan isu sebenar secara terbuka, selain memahami perbezaan pandangan dalam usaha mencari penyelesaian.

“Setiap suara wajar diberi perhatian kerana belia bukan sahaja pemimpin masa hadapan, malah merupakan rakan pembangunan yang mampu menyumbang pada hari ini. Perbezaan pandangan sewaktu berbahas bukanlah satu penghalang, sebaliknya peluang untuk kita memahami isu dengan lebih baik,” katanya.

Terdahulu, persidangan anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka bersama Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) itu turut membabitkan penelitian Laporan Pelaksanaan Persidangan MPBN 2025, selain perbahasan usul baharu bagi 2026 dan sesi maklum balas daripada pelbagai agensi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

367
Kongsi :
Previous post SKUASY WANITA MELAKA AKHIRI PENANTIAN 32 TAHUN RAIH EMAS
Next post PRN MELAKA: ZAHARI TIDAK KECEWA, TEKAD BERJUANG DENGAN ‘CIKGU MUS’ DI DURIAN TUNGGAL