MELAKA AGIH RM308,725 INSENTIF ATLET SUKMA DAN PARA SUKMA 2026

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDA HILIR 28 Oktober – Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM308,725 sebagai insentif kemenangan kepada atlet mengharumkan nama Melaka pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 dan Para SUKMA 2026.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pemberian insentif itu merupakan manifestasi pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap atlet yang berjuang bersungguh-sungguh demi memastikan nama Melaka terus menyerlah di persada sukan tanah air.

Katanya, kejayaan atlet bukan hanya diukur berdasarkan jumlah pingat, sebaliknya turut mengambil kira disiplin, ketekunan dan semangat juang tinggi ditunjukkan sepanjang temasya berlangsung.

“Nilai wang ringgit tidak mungkin dapat membayar segala penat lelah seorang atlet. Namun, pengiktirafan ini membawa satu mesej yang cukup besar, bahawa setiap titis keringat yang dicurahkan demi negeri ini tidak pernah dipandang sepi.

“Kontinjen SUKMA Melaka berjaya mengumpul keseluruhan 50 pingat, merangkumi 21 emas, 12 perak dan 17 gangsa, sekali gus melepasi sasaran 20 pingat emas yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penyampaian Insentif Sukan Malaysia (SUKMA) XXII dan PARA SUKMA 2026 di sebuah hotel, di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Dr. Mohd Yusof Abu Bakar serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, majlis sama juga meraikan atlet Para SUKMA Melaka yang tidak kurang mencatat pencapaian membanggakan menerusi kutipan empat emas, 12 perak dan 18 gangsa.

Ab Rauf berkata, kejayaan itu membuktikan kemampuan atlet negeri untuk bersaing dan mencipta kecemerlangan meskipun berdepan pelbagai cabaran dalam usaha mencapai sasaran masing-masing.

“Saya berharap pengiktirafan berkenaan menjadi pembakar semangat kepada seluruh atlet untuk terus meningkatkan prestasi serta mengharumkan nama Melaka pada kejohanan akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

636
Kongsi :
Previous post UTEM HARGAI USAHA KETUA MENTERI BINA MASA DEPAN MELAKA DENGAN TVET