UTEM HARGAI USAHA KETUA MENTERI BINA MASA DEPAN MELAKA DENGAN TVET

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

DURIAN TUNGGAL 27 Oktober – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh atas komitmen berterusan dalam memperkukuh pembangunan universiti itu serta memajukan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri ini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, sokongan Kerajaan Negeri termasuk usaha membawa masuk pelaburan berasaskan TVET seperti German Technology Park serta pembangunan Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence – CoE) Melaka mencerminkan komitmen terhadap pembangunan negeri berteraskan ilmu dan teknologi.

“Penghargaan turut diberikan kepada Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka, yang sentiasa memberikan keutamaan kepada UTeM dan pembangunan TVET negeri.

“Komitmen beliau dalam membawa masuk pelaburan berasaskan TVET, termasuk German Technology Park dan pembangunan Pusat Kecemerlangan atau Centre of Excellence (CoE) Melaka, membuktikan bahawa Melaka bukan sekadar membina negeri, tetapi sedang membina masa depan berteraskan ilmu dan teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Latihan Pecutan Intensif 12 Jam JELITA 2026 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di UTeM, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek; Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Penasihat TVET JELITA, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; serta Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Prof. Massila berkata, UTeM akan terus memainkan peranan sebagai pemangkin pembangunan ilmu dan teknologi TVET bagi menyokong kemajuan Melaka serta negara.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, negara kini melangkah ke era TVET 2.0 yang membuka ruang lebih luas kepada pembangunan ekonomi dan kemajuan negara.

“Hari ini, kita bukan lagi sekadar berbicara tentang peluang. Kita sedang menyaksikan satu gerakan besar yang berkembang daripada aspirasi kepada realiti, daripada latihan kepada pekerjaan, dan daripada impian kepada kehidupan yang lebih bermakna,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

442
Kongsi :
Previous post TABOH NANING TERUS MEMBANGUN, RM36 JUTA ATASI KESESAKAN
Next post MELAKA AGIH RM308,725 INSENTIF ATLET SUKMA DAN PARA SUKMA 2026