SAMBUNGAN JAJARAN WCE MAMPU PACU MASJID TANAH ANTARA KAWASAN TERMAJU DI MELAKA – ZAHID

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

TANJUNG BIDARA 27 Oktober – Cadangan menyambung jajaran Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Banting, Selangor ke Masjid Tanah dilihat berpotensi menjadi antara pemangkin pembangunan ekonomi, sekali gus membantu menjadikan kawasan itu antara yang termaju di Melaka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan jajaran lebuh raya berkenaan yang pernah dibincangkan bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, dijangka membuka lebih banyak peluang pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam sektor perindustrian dan pembangunan setempat sekiranya direalisasikan.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, pembangunan jaringan perhubungan yang lebih baik bukan sahaja mampu meningkatkan akses ke Masjid Tanah, malah berpotensi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memudahkan pergerakan penduduk ke kawasan sekitarnya.

“Sekarang ini jajaran yang telah siap dari Taiping ke Banting, Selangor. Selepas ini, insya-Allah, daripada Banting sampai Masjid Tanah, sampai Batu Pahat, sampai Pontian, ia akan melalui Masjid Tanah.

“Datuk Rauf… ini perbincangan kita dulu. Lebuhraya Pantai Barat bukan sahaja daripada Pontian, Batu Pahat, Muar, ia akan sampai ke Masjid Tanah ini, kita mulakan daripada Masjid Tanah ke Banting terlebih dahulu, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional P134 Parlimen Masjid Tanah di Dewan Terbuka Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pembangunan jaringan lebuh raya baharu itu dijangka memberi manfaat kepada pengguna jalan raya, termasuk memudahkan perjalanan dan memperkukuh hubungan antara Masjid Tanah dengan kawasan utama di Semenanjung Malaysia.

“Insya-Allah kalau ada WCE ini, kalau ada lebuh raya baharu ini,daripada Masjid Tanah mahu ke Kuala Lumpur hanya 30 minit.

“Dan ini telah dibincangkan dalam Jemaah Menteri, bukan baru perancangan, akan dilaksanakan tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa Masjid Tanah berpotensi muncul sebagai antara kawasan paling maju di Melaka dengan adanya jaringan perhubungan lebih baik, selain pembangunan sektor perindustrian dan projek infrastruktur yang sedang dirancang.

“Masjid Tanah pada hemat saya akan jadi satu kawasan antara yang termaju di negeri Melaka.

“Tidak mustahil kalau kita memberikan sokongan pada Dato’ Rauf dengan kawasan industri yang ada, dengan pembangunan-pembangunan yang beliau sebut, dengan jalan yang tidak jem lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memuji kepimpinan Ab Rauf yang disifatkannya berjaya membawa pelbagai inisiatif pembangunan, termasuk lebih 200 program dan projek baharu sejak menerajui pentadbiran negeri.

“Saya yakin, Melaka beruntung mempunyai Datuk Rauf sebagai Ketua Menteri,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Melaka dilaporkan pernah memohon pertimbangan Kerajaan Persekutuan bagi pembangunan jajaran baharu WCE dari Banting melalui Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum memasuki Melaka dan diteruskan ke Johor.

Cadangan peluasan lebuh raya itu dilihat berpotensi meningkatkan akses perhubungan, merangsang aktiviti perindustrian dan pelancongan serta membuka peluang pertumbuhan ekonomi baharu kepada penduduk setempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

153
Kongsi :
Previous post 104 AHLI PKR TANJUNG BIDARA SERTAI UMNO
Next post AYER LIMAU BAKAL JADI LUBUK REZEKI, 2,000 EKAR KAWASAN INDUSTRI DIBANGUNKAN