LENDU MENITI TRANSFORMASI, RM430 JUTA AKHIRI EPISOD BANJIR

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

TANJUNG BIDARA 28 Oktober – Peruntukan RM430 juta bagi pelaksanaan rancangan tebatan banjir baharu dari Masjid Tanah hingga Sungai Baru yang sudah diluluskan bakal menjadi antara usaha penting menangani masalah banjir berulang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kelulusan itu merupakan perkembangan penting hasil usaha pentadbiran sebelum ini dalam memperjuangkan penyelesaian terhadap masalah banjir yang sekian lama membelenggu penduduk.

Beliau berkata, bekas wakil rakyat kawasan itu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali atau lebih dikenali sebagai Tok Leman, sebelum ini sentiasa turun padang membantu penduduk setiap kali banjir melanda.

β€œSekejap-sekejap banjir, Tok Leman selalu singsing lengan dan seluar, redah banjir untuk membantu rakyat. Akhirnya kita dapat bajet RM430 juta untuk rancangan tebatan banjir baharu dari Masjid Tanah hingga ke Sungai Baru.

β€œSaya tak boleh tipu, ini dah lulus,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional P134 Parlimen Masjid Tanah yang disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Terbuka Villa D’Acqua, Kampung Pulau, di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, jasa dan sumbangan wakil rakyat terdahulu tidak dilupakan, malah usaha yang telah dilaksanakan perlu diteruskan bagi memastikan pembangunan kawasan Lendu dapat dipertingkatkan.

Beliau yang juga PengerusI Barisan Nasional (BN) Melaka berkata, kini perjuangan itu akan diteruskan Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid yang dipilih sebagai calon bagi kerusi DUN Lendu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

β€œSekarang Tok Hakim (Abdul Hakim) dipilih sebagai calon. Tak nak ke pilih Hakim untuk membina semula Lendu dan memajukannya lagi? Kita tak lupa juga jasa Tok Leman. Terima kasih, Tok Leman,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur turut dilaksanakan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan Masjid Tanah, termasuk di persimpangan Solok Duku.

Beliau berkata, pembinaan bulatan di kawasan berkenaan membantu melancarkan aliran trafik, khususnya ketika waktu puncak apabila penduduk pulang dari tempat kerja.

Katanya, pembangunan yang dilaksanakan itu perlu dinilai berdasarkan manfaatnya kepada rakyat, termasuk penyelesaian masalah harian yang sekian lama dihadapi penduduk.

Beliau berkata, segala usaha pembangunan dan kemudahan yang telah dinikmati rakyat wajar diteruskan bagi memastikan kesejahteraan penduduk terus terpelihara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

196
Kongsi :
Previous post AYER LIMAU BAKAL JADI LUBUK REZEKI, 2,000 EKAR KAWASAN INDUSTRI DIBANGUNKAN
Next post ZAHID PILIH TANJUNG BIDARA, IRINGI AB RAUF PADA HARI PENAMAAN CALON