MELAKA SEDIA RM10.9 JUTA PERKASA PEMBANGUNAN SUKAN 2026

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

BANDA HILIR 28 Oktober – Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM10.9 juta bagi pembangunan sukan sepanjang 2026, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf.

Ketua Menteri berkata, peruntukan itu merangkumi usaha menaik taraf kemudahan sedia ada dan menambah baik prasarana sukan bagi melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi.

Ab Rauf berkata, pembangunan sukan negeri perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memberi perhatian bukan sahaja kepada kemudahan fizikal, malah pembangunan bakat dan peningkatan prestasi atlet.

Katanya, antara kemudahan yang diberi perhatian ialah Dewan Badminton Majlis Sukan Negeri, Lapang Sasar Memanah Ayer Keroh serta kemudahan sukan komuniti di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita tidak mahu kejayaan sukan Melaka hanya menjadi catatan dalam rekod pencapaian. Lebih utama, ia mesti menjadi landasan untuk melahirkan lebih ramai juara, mencungkil lebih banyak bakat dan mencipta pencapaian lebih besar,

“Melaka ketika ini mempunyai 529 atlet yang terlibat dalam 37 cabang sukan, manakala pembangunan sukan para melibatkan 61 atlet yang disokong 22 jurulatih dalam lapan cabang sukan.

“Kekuatan itu merupakan aset penting negeri yang perlu terus digilap menerusi latihan lebih sistematik, bimbingan kejurulatihan berkualiti serta peluang lebih luas untuk atlet mengembangkan bakat masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penyampaian Insentif Sukan Malaysia (SUKMA) XXII dan PARA SUKMA 2026 di sebuah hotel, di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Dr. Mohd Yusof Abu Bakar serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, usaha memperkasa pembangunan sukan tidak boleh terhad kepada penyediaan gelanggang dan kemudahan semata-mata.

Jelasnya, ia sebaliknya perlu disertai ekosistem yang mampu mengesan bakat, membina potensi dan meningkatkan prestasi atlet secara berterusan.

“Bukan sekadar membangunkan prasarana, tetapi membina keupayaan. Bukan sekadar menyediakan gelanggang, tetapi membuka lebih banyak ruang untuk melahirkan juara.

“Kerajaan Negeri berharap kejayaan SUKMA dan Para SUKMA 2026 menjadi pemangkin kepada anjakan baharu pembangunan sukan Melaka, sekali gus membuka peluang kepada atlet negeri untuk melangkah lebih jauh hingga ke pentas antarabangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

543
Kongsi :
Previous post MELAKA AGIH RM308,725 INSENTIF ATLET SUKMA DAN PARA SUKMA 2026
Next post MELAKA SALUR LEBIH RM3.4 JUTA PERKASA BELIA