
MELAKA SALUR LEBIH RM3.4 JUTA PERKASA BELIA
BANDARAYA MELAKA 28 Oktober – Lebih RM3.4 juta diperuntukkan bagi memperkasa program persatuan belia serta menaik taraf kemudahan sukan di seluruh Melaka tahun ini, termasuk pelaksanaan aktiviti di peringkat komuniti dan pembaikan fasiliti sukan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, daripada jumlah itu, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka meluluskan RM1,071,160 kepada 185 persatuan belia bagi melaksanakan pelbagai program di peringkat komuniti.
Menurut beliau, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut memperuntukkan RM1 juta bagi 10 projek pembaikan kecil fasiliti sukan, manakala Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan tambahan kira-kira RM1.4 juta.
“Kerajaan Negeri telah meluluskan RM50,000 kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membaik pulih fasiliti sukan yang berdekatan dengan komuniti.
“Ini membuktikan kerajaan memandang serius dan sangat memberikan perhatian kepada golongan belia untuk terus berkarya dan berbakti di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Melaka Sidang II, Penggal Ke-35, Sesi 2025-2026, di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.
Teks ucapan Ketua Menteri dibacakan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam.
Hadir sama, Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Melaka, Ahmad Syammeil Mohamad Karim.
Ketua Menteri berkata, komitmen terhadap pembangunan belia turut diterjemahkan melalui beberapa inisiatif di Melaka, termasuk penubuhan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia, penganjuran Sukan Melaka dan pengenalan Skim Rumah Belia.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengingatkan kepimpinan pertubuhan belia supaya bersedia menghadapi peralihan kepimpinan yang bakal menyaksikan persatuan diterajui sepenuhnya oleh individu berusia bawah 30 tahun mulai tahun hadapan.
Katanya, perubahan itu menuntut golongan muda bersedia mengimbangi komitmen peribadi dengan tanggungjawab mengurus dan memimpin pertubuhan.
“Belia pada tahun hadapan akan diketuai oleh anak-anak muda berusia di bawah 30 tahun. Ini menjadi satu cabaran yang besar kepada anda kerana terpaksa mengimbangi kehidupan peribadi dan juga kepimpinan belia.
“Kalau kita tidak mempunyai tulang belakang yang membentuk dan menguatkan badan kita, begitu jugalah halnya kalau kita tidak mempunyai satu kepimpinan belia yang kuat,” katanya.
Bagi memastikan gerak kerja persatuan lebih berkesan, beliau turut menggesa Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) dan pertubuhan belia di peringkat akar umbi memperkukuh kerjasama dengan JBS bagi memanfaatkan peluang mendapatkan dana pembangunan.
“Kementerian mempunyai berjuta-juta ringgit peruntukan. Atas tujuan itu, melalui kerjasama yang erat dengan JBS, kita boleh memohon dana tersebut untuk kegunaan dan pembangunan belia di negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


