
13 TAHUN UKIR SENYUMAN, MELAKA JADIKAN DEEPAVALI LEBIH BERMAKNA
BANDA HILIR 28 Oktober – Selama 13 tahun, usaha menceriakan sambutan Deepavali murid daripada keluarga kurang berkemampuan diteruskan menerusi program amal yang memberi peluang kepada mereka memilih sendiri pakaian baharu bagi menyambut Pesta Cahaya.
Tahun ini, seramai 90 murid mewakili 21 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh Melaka diraikan menerusi program membeli-belah pakaian Deepavali di sebuah gedung pakaian di Little India, di sini.
Pengerusi MIC Negeri Melaka, Datuk VP Shanmugam berkata, program yang memasuki tahun ke-13 itu diteruskan bagi meringankan beban kewangan keluarga memerlukan, selain memastikan anak-anak turut merasai kegembiraan menyambut perayaan bersama keluarga.
Menurutnya, murid yang terlibat dipilih oleh pihak pengurusan sekolah masing-masing bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan sasar.
Lebih bermakna, katanya, murid berkenaan diberi kebebasan memilih sendiri pakaian tradisional mengikut cita rasa masing-masing, sekali gus memberikan pengalaman membeli-belah yang menggembirakan menjelang Deepavali.
“Melihat keterujaan serta senyuman mereka ketika memilih pakaian baharu untuk menyambut Deepavali bersama keluarga benar-benar menggembirakan hati,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau.
Shanmugam berharap sumbangan berkenaan dapat membawa kegembiraan kepada anak-anak dan keluarga mereka, sekali gus menjadikan sambutan Deepavali tahun ini lebih bermakna.
“Semoga pemberian kecil ini membawa kegembiraan dan menjadikan Deepavali mereka lebih bermakna. Kegembiraan anak-anak, kebahagiaan kita bersama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


