
PENANTIAN BERAKHIR, GENERASI KEDUA FELDA BUKIT SENGGEH MILIKI GERAN TANAH SENDIRI
ASAHAN 28 Oktober – Penantian panjang 95 generasi kedua Felda Bukit Senggeh untuk memiliki tanah lot sendiri akhirnya berakhir apabila permohonan mereka diluluskan, sekali gus merealisasikan impian yang sekian lama diharapkan.
Kejayaan membawa makna besar kepada golongan berkenaan, adalah hasil usaha penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan atau lebih dikenali sebagai YB Along.
Bagi penerima tanah lot, Mardiyana Misman, 42, kelulusan itu bukan sekadar memberi peluang memiliki tanah sendiri, malah menjadi detik bermakna selepas beberapa permohonan terdahulu tidak membuahkan hasil.
Mardiyana yang kini tinggal bersama ibunya berkata, dia sebak dan terharu apabila mendapat berita permohonannya berjaya, sekali gus merealisasikan impian sebagai generasi kedua Felda untuk memiliki tanah sendiri.
“Ketika mendapat berita permohonan kami berjaya, memang sebak dan terharu kerana sebelum ini saya pernah memohon, tetapi tiada kesudahan.
“Alhamdulillah, bantuan dan kesungguhan YB Along kami akhirnya dapat geran tanah. Jasa beliau amat kami hargai dan pastinya tidak terbalas.
“Impian kami generasi kedua Felda Bukit Senggeh untuk memiliki tanah lot akhirnya tercapai, meskipun di kawasan Felda lain perkara ini sudah lama diuruskan,” katanya.
Menurutnya, YB Along disenangi penduduk setempat kerana sikap prihatin dan kesungguhannya berusaha membantu menyelesaikan masalah yang dibangkitkan masyarakat.
Katanya, keprihatinan wakil rakyat itu terhadap keperluan penduduk menjadikan beliau dekat di hati masyarakat, khususnya mereka yang memerlukan bantuan.
“Sikap ambil berat dan cakna terhadap keperluan penduduk membuatkan beliau amat disenangi. Walaupun beliau tidak terkenal seperti beberapa wakil rakyat lain, dalam kalangan penduduk, beliau amat dikenali melalui khidmatnya.
“Saya amat berharap YB Along terus kekal berkhidmat di Asahan dan membantu lebih ramai penduduk yang memerlukan perhatian,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penerima tanah lot, Kamarul Bahri Keliwon, 41, berkata kelulusan berkenaan membuka peluang buat dirinya dan keluarga untuk merancang masa depan dengan lebih baik.
Katanya, dia yang kini tinggal menyewa dan bekerja sendiri berdepan kesukaran untuk membeli tanah serta membina kediaman sendiri berikutan kekangan pendapatan.
“Saya kini tinggal menyewa dan dengan pendapatan bekerja sendiri, agak sukar untuk membeli tanah serta membina kediaman sendiri.
“Ini adalah rezeki untuk saya dan keluarga. Oleh itu, saya amat berharap YB Along akan terus diberi mandat di Asahan kerana kami masih memerlukan khidmatnya,” katanya.
Kelulusan permohonan tanah lot itu menjadi perkembangan bermakna buat generasi kedua FELDA Bukit Senggeh, sekali gus membuka ruang kepada penerima untuk merancang pemilikan kediaman dan masa depan keluarga dengan lebih terjamin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


