PRN MELAKA: BN, PAS SEPAKAT GERAK KERJA, KONGSI MANIFESTO SAMA – AB RAUF 

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

LENDU 29 Oktober – Barisan Nasional (BN) dan PAS di Melaka mencapai kesepakatan untuk melaksanakan gerak kerja bersama serta berkongsi manifesto bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kesepakatan itu dicapai dalam mesyuarat peringkat tertinggi yang berlangsung semalam (Rabu), dengan PAS diputuskan sebagai rakan strategik.

Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, kedua-dua pihak sepakat supaya semua gerak kerja dilaksanakan bersama, selaras dengan persetujuan yang dicapai.

“Semalam kita mengadakan mesyuarat peringkat tertinggi dan telah memutuskan bahawa rakan strategik kita ialah PAS dan kita juga telah bersepakat supaya semua gerak kerja berjalan bersama dan berkongsi manifesto yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Perayaan Deepavali Tahun 2026 Parlimen Masjid Tanah di Kompleks Japerun Lendu, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Calon BN DUN Lendu Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid dan Pengarah JKM Melaka Halyjah Muhamad.

Mengulas mengenai kerjasama jentera kedua-dua pihak, Ab Rauf berkata, pelaksanaannya akan dilakukan secara bersama.

“Semua sama, di mana ada kita, di situ ada dia (PAS). Jadi, jangan ada dusta di antara kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

169
Kongsi :
Previous post ISTERI TPM, TOK HAMEED SANTUNI ANAK ISTIMEWA AYER LIMAU
Next post BALAU PECAH 3 REKOD, KINI BURU TAKHTA ASEAN