PRN MELAKA: AB RAUF BERDEPAN CABARAN MUKA BAHARU DI TANJUNG BIDARA

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

TANJUNG BIDARA 31 Oktober – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara menyaksikan pertandingan dua penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 selepas dua calon disahkan layak bertanding, hari ini.

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Saifuddin Abdul Karim selepas proses penamaan calon berlangsung di Dewan Datuk Kapt (B) Hj. Ab. Karim, Kompleks Japerun Tanjung Bidara, di sini.

“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan tersebut dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati memutuskan tiada yang ditolak kertas penawannya.

“Dengan ini saya mengumumkan calon-calon yang disahkan bertanding dalam bahagian Pilihan Raya N02 Tanjung Bidara mengikut susunan dalam kertas undi seperti yang berikut.

“Satu, Yunazri Mustamiri – Parti Pakatan Harapan (PH). Dua, Ab Rauf Yusof (Tok Raof) – Parti Barisan Nasional (BN),” katanya.

Terdahulu, Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka hadir bagi proses penamaan calon bersama Datuk Muhamad Azmi Sabtu selaku pencadang dan Datuk Akmal Abdul Manap sebagai penyokong pencalonannya.

Beliau akan berdepan Yunazri daripada PH dalam usaha mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRN Melaka 2021.

Yunazri yang juga Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Masjid Tanah diumumkan sebagai calon gabungan itu bagi kerusi DUN Tanjung Bidara pada 24 Oktober lalu.

Proses penamaan calon bermula jam 9 pagi dan ditutup pada jam 10 pagi sebelum pengumuman calon yang layak bertanding dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Pertandingan kali ini menjadi tumpuan susulan persaingan sengit pada PRN Melaka 2021 yang menyaksikan Ab Rauf memenangi kerusi Tanjung Bidara dengan majoriti tipis 364 undi.

Pada pilihan raya berkenaan, beliau memperoleh 3,559 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang meraih 3,195 undi.

Seorang lagi calon, Zainal Hassan daripada PH pula memperoleh 489 undi dalam pertandingan tiga penjuru itu.

Bagaimanapun, persaingan kali ini berlangsung dalam landskap politik berbeza apabila Ab Rauf yang ketika itu belum menerajui Kerajaan Negeri, kini mempertahankan kerusi berkenaan atas kapasiti sebagai Ketua Menteri Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka Ke-16, manakala pengundian awal dijadualkan berlangsung pada 10 November ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

172
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: RAIS CALON NOMBOR 3 SUNGAI UDANG
Next post MPHTJ GEMPUR WARGA ASING, SITA PERALATAN PERNIAGAAN